LBS kukuhkan pembangunan di Cameron Highlands

Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berangkat ke majlis perasmian Surau Al-Amin di IPD Cameron Highlands. Turut hadir ialah Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah.
Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berangkat ke majlis perasmian Surau Al-Amin di IPD Cameron Highlands. Turut hadir ialah Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah.
A
A
A

Di tengah-tengah keindahan tanah tinggi Cameron Highlands yang menjadi destinasi pelancongan utama negara, terserlah satu usaha gigih yang memberi impak besar kepada masyarakat setempat.

LBS Bina Group Berhad (LBS), syarikat pemaju hartanah yang terkenal dengan pendekatan pembangunan bertanggungjawab, terus menabur bakti bukan sahaja melalui pembangunan infrastruktur moden, malah dengan menyuntik nilai-nilai spiritual, kemasyarakatan dan kelestarian ke dalam setiap projek mereka.

Salah satu inisiatif yang mencerminkan komitmen ini adalah pembinaan Surau Al-Amin di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cameron Highlands, yang telah dirasmikan Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada 13 Mac lalu.

Surau ini bukan sekadar sebuah rumah ibadat, tetapi menjadi simbol keharmonian dan kekuatan rohani dalam komuniti, khususnya untuk kegunaan warga IPD dan pelancong.

DANIEL LIM HOCK SING
DANIEL LIM HOCK SING



Menurut Pengarah Eksekutif LBS, Dato’ Seri Daniel Lim Hock Sing, projek itu merupakan sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat (CSR) LBS dan dibiayai menerusi ASEAN Social SRI Sukuk Wakalah, sebuah instrumen kewangan patuh syariah yang menyokong inisiatif-inisiatif berkepentingan sosial dan mampan.

“Pembinaan Surau Al-Amin ini merupakan pelaburan yang membawa impak berterusan kepada komuniti. Ia bukan hanya mengenai menyediakan ruang ibadah, tetapi ia adalah tentang membina sebuah komuniti yang sejahtera, berakar dalam nilai-nilai murni dan keharmonian,” ujarnya kepada Sinar Harian.

Beliau menambah, LBS amat berbesar hati atas keberangkatan Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang mencerminkan sokongan institusi diraja terhadap inisiatif sosial yang membawa manfaat jangka panjang kepada masyarakat.

Pembangunan bercampur

Artikel Berkaitan:

Keterlibatan LBS di Cameron Highlands bukanlah perkara baru dan sejak tahun 1990-an, LBS telah menjejakkan kaki di tanah tinggi ini dengan beberapa pembangunan penting seperti Carnation Park, Taman Royal Lily, Brinchang Square dan kini, mercu tanda baharu mereka iaitu Cameron Centrum.

Projek Cameron Centrum Precinct 1, yang siap pada tahun 2021 adalah pembangunan bercampur terbesar di kawasan tersebut.

Surau Al-Amin di IPD Cameron Highlands memberikan kemudahan kepada komuniti setempat.
Surau Al-Amin di IPD Cameron Highlands memberikan kemudahan kepada komuniti setempat.



Ia menempatkan 58 unit kedai pejabat dengan 95 peratus daripadanya kini telah diduduki oleh pelbagai jenama utama dalam sektor makanan dan minuman, perbankan, kesihatan dan barangan runcit.

“Cameron Centrum bukan sekadar pembangunan komersial, ia adalah pusat pertumbuhan ekonomi tempatan. Kami melihat bagaimana komuniti setempat dan peniaga tempatan mula berkembang seiring dengan infrastruktur yang dibangunkan,” jelas Hock Sing.

Tahun ini, ujarnya, LBS memperkenalkan satu lagi pembangunan menarik, Centrum Iris yang menawarkan 705 unit kediaman dengan keluasan antara 595 hingga 1,370 kaki persegi.

Harga yang bermula dari RM476,000 disertai dengan reka bentuk moden, pilihan unit dualkey untuk gaya hidup pelbagai generasi serta pemandangan gunung yang menenangkan menjadikan projek ini antara paling dinanti-nantikan.

Komponen komersial turut dirancang dengan teliti, menawarkan 26 unit kedai yang sesuai untuk kafe, butik dan pelbagai perniagaan berteraskan gaya hidup. Lokasinya yang hanya beberapa langkah dari Precinct 1 menjadikan ia pusat tumpuan baharu bagi penduduk dan pelancong.

Dengan pengiktirafan sijil ‘Silver GreenRE’, iaitu penarafan yang diberikan kepada projek yang memenuhi garis panduan kecemerlangan dalam pembangunan bangunan hijau.

Centrum Iris turut menampilkan 47 kemudahan gaya hidup, termasuk kolam renang dengan sistem pemanas, restoran dengan pemandangan langit, taman berlanskap ala Inggeris dan stesen pengecas EV, mencerminkan usaha LBS menyokong gaya hidup moden yang lestari.

Pembangunan fleksibel dan adaptif

Pasaran hartanah yang tidak menentu, khususnya di lokasi seperti Cameron Highlands yang bergantung pada sektor pelancongan, menuntut strategi bijak daripada pemaju. Menyedari cabaran ini, LBS menerapkan pendekatan pembangunan yang fleksibel dan adaptif.

“Kami sentiasa menilai keperluan semasa pasaran dari reka bentuk hingga kepada harga dan lokasi agar ia benar-benar relevan dengan kehendak pembeli. Kami juga meletakkan nilai pelaburan sebagai teras utama dalam setiap projek,” jelas Hock Sing.

Mengulas mengenai cabaran terbesar dalam sektor hartanah kini, Hock Sing menyebut peningkatan kos bahan binaan, kekurangan tenaga kerja mahir serta perubahan dasar kerajaan sebagai antara cabaran utama.

Cameron Centrum merupakan pembangunan bercampur yang siap pada 2021.
Cameron Centrum merupakan pembangunan bercampur yang siap pada 2021.



Namun, LBS mengambil langkah proaktif melalui perancangan berperingkat, kerjasama dengan pembekal, dan penggunaan kaedah pembinaan moden yang mengurangkan pembaziran dan pencemaran.

“Kami percaya bahawa pembangunan yang mampan bukan sahaja menguntungkan dari segi ekonomi, tetapi penting untuk masa depan komuniti dan alam sekitar,” tambahnya.

Dengan sejarah lebih 30 tahun di Cameron Highlands dan pelaburan yang konsisten dalam pembangunan sosial, fizikal dan ekonomi, LBS terus membuktikan bahawa mereka bukan sekadar membina bangunan tetapi membina komuniti yang hidup, sejahtera dan inklusif.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!