Hospital disiasat tersilap bedah warga emas

NEW DELHI – Sebuah hospital kerajaan di Rajasthan sedang disiasat selepas doktor tersilap melakukan pembedahan ke atas seorang lelaki warga emas yang menemani anaknya di pusat kesihatan tersebut pada 12 April lepas.
Mangsa dikenali sebagai Jagdish Panchal, 60, menemani anaknya, Manish yang cedera dalam kemalangan jalan raya dan perlu menjalani pembedahan kaki.
Ketika menunggu di luar bilik bedah, seorang petugas memanggil pesakit lain yang turut bernama Jagdish.
Difahamkan, mangsa yang mengalami kesukaran bercakap akibat serangan angin ahmar mengangkat tangan secara spontan dan dibawa masuk tanpa pengesahan identiti.
Walaupun cuba memaklumkan dirinya bukan pesakit, doktor terus membuat torehan di lengannya bagi prosedur fistula dialisis yang sebenarnya bukan untuknya.
Kesilapan hanya disedari apabila doktor pakar masuk ke bilik pembedahan dan mempersoalkan identiti pesakit sebelum prosedur itu dihentikan serta-merta dan luka pembedahan terus dirawat.
Manish yang dimaklumkan mengenai kejadian itu selepas selesai pembedahan meluahkan rasa terkejut dan kecewa terhadap kecuaian pihak hospital.
"Saya diberitahu ayah telah dibawa untuk pembedahan. Saya tanya, pembedahan apa? Dia datang bersama saya," katanya.
Sumber hospital memaklumkan Panchal tidak memakai gaun pesakit dan tidak menjalani pemeriksaan prapembedahan, namun kecuaian tetap berlaku apabila identiti beliau tidak disemak dengan betul. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

