TDM meterai perjanjian pembelian saham THP-YT Plantations

Zainal Abidin (dua kanan) bertukar dokumen dengan Muzmi dalam majlis menandatangani Perjanjian Pembelian Saham antara kedua-dua pihak.
Zainal Abidin (dua kanan) bertukar dokumen dengan Muzmi dalam majlis menandatangani Perjanjian Pembelian Saham antara kedua-dua pihak.
A
A
A

KUALA TERENGGANU- Anak syarikat milik kerajaan negeri, TDM Berhad menandatangani Perjanjian Pembelian Saham (SPA) dengan TH Plantations Berhad (THP) bagi memperoleh 70 peratus saham THP-YT Plantation Sdn Bhd dengan pertimbangan pembelian sebanyak RM7 juta.

Perjanjian antara kedua-dua pihak itu dilaksanakan melalui Ketua Pegawai Eksekutif TDM Berhad, Zainal Abidin Shariff dan Ketua Pegawai Eksekutif TH Plantations Berhad, Muzmi Mohamed.

Selain itu, sebagai sebahagian daripada transaksi di bawah SPA, TDM dan THP-YT turut menandatangani Perjanjian Penyelesaian (SA) untuk menyelesaikan pendahuluan antara syarikat sebanyak RM78.6 juta yang terhutang oleh THP-YT kepada THP Suria Mekar Sdn Bhd, iaitu anak syarikat THP.

Pengerusi TDM Berhad, Raja Datuk Idris Raja Kamarudin berkata, sebahagian daripada pendahuluan RM62 juta akan diselesaikan melalui kemudahan bank dan pendahuluan pemegang saham dan baki akan diberikan oleh THSM kepada TDM dengan kadar RM1.

"Pengambilalihan yang dicadangkan ini akan meningkatkan jumlah kawasan tanaman TDM di Terengganu dari 31,346 hektar kepada 33,653 hektar.

"Atas faktor lokasi yang berhampiran antara ladang THP-YT dengan perladangan sedia ada TDM, pengambilalihan itu dijangka dapat mengoptimumkan kapasiti dan kecekapan pemprosesan FFB, dan selanjutnya menurunkan kos pemprosesan kilang di kilang minyak sawit TDM di Sungai Tong," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Jelas Raja Idris, di bawah Pelan Pembangunan Perniagaan (BDP), TDM akan sentiasa mencari prospektif lapangan sedia ada dengan matlamat untuk mencapai peningkatan perolehan dalam kedua-dua sektor perladangan dan penjagaan kesihatan.

Oleh itu, pengambilalihan ini adalah sebahagian daripada strategi keseluruhan dan meletakkan TDM untuk terus berdaya saing dalam keadaan pasaran yang sangat mencabar.

Artikel Berkaitan:

"Kita bersifat optimistik terhadap asas-asas mampan jangka panjang industri dan akan terus memberi tumpuan kepada peningkatan produktiviti dan mengoptimumkan kos pengeluaran," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, anak syarikat milik penuh TDM iaitu TDM Plantation Sdn Bhd telah dikekalkan secara sah oleh Meja Bulat mengenai Minyak Sawit Lestari (RSPO) dan Minyak Sawit Lestari Malaysia (MSPO).

Syarikat itu juga adalah syarikat perladangan pertama di Terengganu untuk melangkaui amalan standard pada masa itu dan telah dianugerahkan dengan 100 peratus Persijilan RSPO.