Berebut isi pistol air punca gaduh pesta Songkran

PETALING JAYA – Berebut mengisi air untuk pistol air disyaki menjadi punca pergaduhan sekumpulan individu ketika pesta Songkran di sebuah pusat beli-belah di Damansara, di sini.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shahrulnizam Ja’afar berkata, seramai lima lelaki berusia 20-an hingga 30-an telah ditahan bagi membantu siasatan.
"Kita telah berjaya menahan lima individu yang terlibat dengan pergaduhan, kejadian dikatakan berpunca daripada berebut semasa mengisi air untuk pistol air yang digunakan dalam pesta tersebut," katanya ketika dihubungi pada Selasa.
Pada Isnin, media melaporkan polis terkesan video selama 56 saat yang dimuat naik oleh seorang pemilik akaun Facebook pada jam 10 pagi Isnin.
Hasil semakan mendapati video tersebut memaparkan insiden pergaduhan yang dipercayai berlaku semasa pesta berkenaan.
Susulan itu, satu laporan polis telah dibuat oleh Ketua Polis Balai, Balai Polis Damansara dan siasatan kini dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan iaitu merusuh menggunakan senjata.
Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian itu diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Ketua Polis Balai, Balai Polis Damansara, Inspektor Hafizzul Mohd Noor di talian 016-2236804 atau 03-77222222.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
