Dua kilang disita, bekal minyak masak subsidi secara haram

Ahmad Fitri bersama pegawainya memeriksa bungkusan minyak masak di sebuah kilang pembungkusan bahan itu di Gambang di sini yang diserbu selepas dikesan membekal minyak masak bersubsidi kepada pemborong tidak berlesen.
Ahmad Fitri bersama pegawainya memeriksa bungkusan minyak masak di sebuah kilang pembungkusan bahan itu di Gambang di sini yang diserbu selepas dikesan membekal minyak masak bersubsidi kepada pemborong tidak berlesen.
A
A
A

KUANTAN - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Pahang menyita dua kilang pembungkusan minyak masak di sini, kerana disyaki membekalkan minyak masak bersubsidi secara haram.

Hasil serbuan berasingan ke atas kilang di Sungai Soi dan Gambang di sini pada 2 dan 3 Mac lalu, sebanyak 16,972 kilogram minyak masak dianggarkan bernilai RM52,455 turut dirampas.

Timbalan Pengarah KPDNHEP Pahang, Ahmad Fitri Ali berkata, kegiatan menyeleweng minyak masak bersubsidi di kilang itu terbongkar hasil siasatan dan risikan yang dilakukan pihaknya susulan serbuan di sebuah premis tidak berlesen di Lorong Seri Mahkota Aman 1, Ahad lalu.

Menurutnya, rentetan itu (serbuan Ahad lalu), KPDNHEP Pahang berjaya mengesan dan mengenal pasti rangkaian pembekal dan pembeli sehingga membawa kepada serbuan ke dua kilang pembungkusan bahan keperluan masakan itu.

"Hasil pemeriksaan mendapati mereka (kilang) ada membekalkan minyak masak secara pukal kepada premis yang tidak berlesen di Lorong Seri Mahkota Aman 1 sebanyak 10 metrik tan pada Ahad lalu selain tidak membungkus sebagaimana yang disyaratkan dalam lesen," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas serbuan dilakukan di sebuah kilang pembungkusan minyak masak di Gambang, di sini.

Ahmad Fitri berkata, pihaknya berjaya menahan lima pekerja di dua kilang berkenaan berusia dari 50 hingga 64 tahun.

Jelasnya, kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974.

Artikel Berkaitan:

"Akta ini memperuntukkan hukuman bagi individu, denda sehingga RM1 juta atau tiga tahun penjara atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan pertama manakala bagi kesalahan kedua dan berikutnya, denda sehingga RM3 juta atau penjara tidak lebih lima tahun.

"Bagi pertubuhan atau perbadanan, denda sehingga RM2 juta bagi kesalahan pertama dan kesalahan seterusnya, denda sehingga RM5 juta," katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Fitri berkata, minyak masak bersubsidi yang dibekalkan kepada kilang pembungkusan itu untuk kegunaan di Pahang, tetapi ia dibawa keluar dan diselewengkan bagi tujuan keuntungan.

"Kita syak minyak ini dibawa keluar dan kemungkinan dijual di negeri sempadan atau industri yang jelas menyalahi undang-undang.

"Kita beri amaran kepada semua pembungkusan dan pemborong minyak masak supaya mematuhi peraturan ditetapkan," katanya.

Tegasnya, pihak KPDNHEP akan terus membuat pemantauan dari semasa ke semasa demi memastikan keperluan pengguna dipenuhi dan peniaga perlu patuhi peraturan tersebut.