Semai patriotisme melalui lencana di dada murid - Mohd Hisamudin

Mohd Hisamudin (kiri) memakaikan lencana Jalur Gemilang kepada salah seorang pelajar semasa majlis simbolik itu di SMK Putrajaya Presint 18(1) pada Isnin.
Mohd Hisamudin (kiri) memakaikan lencana Jalur Gemilang kepada salah seorang pelajar semasa majlis simbolik itu di SMK Putrajaya Presint 18(1) pada Isnin.
A
A
A

PUTRAJAYA - Pemakaian lencana Jalur Gemilang pada seragam sekolah bukan sekadar hiasan biasa, tetapi sebagai simbol kesetiaan, kebanggaan dan tanggungjawab sebagai warganegara Malaysia.

Pengerusi Biro Pendidikan Perpaduan Putrajaya, Datuk Mohd Hisamudin Yahaya berkata, lencana itu menjadi tanda pengiktirafan warga Madani menjunjung tinggi nilai murni dalam kehidupan seharian.

"Sikap hormat-menghormati, bertanggungjawab dan tolong-menolong harus menjadi amalan dalam kalangan kita kerana bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat," katanya.

Beliau berkata demikian semasa membacakan teks ucapan pengurusan tertinggi Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sempena Majlis Simbolik Pemakaian Lencana Jalur Gemilang di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Putrajaya Presint 18(1) di sini pada Isnin.

Mohd Hisamudin menambah, inisiatif itu juga selaras dengan gagasan Malaysia Madani yang mengangkat nilai kemanusiaan, kemajuan dan kesejahteraan dalam pembinaan negara bangsa.

Selain itu, katanya, inisiatif itu juga bertujuan meningkatkan semangat cintakan negara di samping menyemai nilai perpaduan dan menghargai kepelbagaian budaya serta latar belakang rakyat Malaysia.

Katanya, setiap jalur dan warna pada lencana Jalur Gemilang mengandungi mesej perpaduan, keberanian dan kedaulatan yang mendalam.

"Seperti peribahasa Melayu, di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung, kita mestilah menghormati dan menyayangi tanah air ini dengan sepenuh hati.

Artikel Berkaitan:

"Saya berharap pelajar dapat memakai lencana ini dengan penuh rasa bangga dan amanah kerana ia merupakan ikon bahawa kita ialah duta kecil kepada negara dan pencorak kepada masa depan Malaysia kerana pemuda harapan bangsa pemudi tiang agama," tambah beliau.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!