SPRM serah siasatan pegawai kepada polis, buka siasatan dalaman

SPRM menyerahkan kepada PDRM bagi menjalankan siasatan berhubung seorang pegawainya yang diperiksa dalam satu serbuan di pusat hiburan baru-baru ini.
SPRM menyerahkan kepada PDRM bagi menjalankan siasatan berhubung seorang pegawainya yang diperiksa dalam satu serbuan di pusat hiburan baru-baru ini.
A
A
A

PUTRAJAYA - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyerahkan siasatan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhubung seorang pegawai suruhanjaya itu yang turut diperiksa dalam satu serbuan mengejut di sebuah pusat hiburan di Kuala Lumpur baru-baru ini.

SPRM dalam satu kenyataan berkata, pihaknya mengambil maklum berhubung pemeriksaan pihak PDRM ke atas pegawai terlibat semasa pemeriksaan dilakukan di premis berkenaan menerusi Op Noda Khas.

"Siasatan lanjut telah diserahkan kepada pihak PDRM dan SPRM akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa dalam menjalankan siasatan berhubung insiden tersebut," kata kenyataan itu pada Isnin.

Sehubungan itu, katanya, SPRM juga telah membuka satu kertas siasatan dalaman bagi meneliti secara terperinci penglibatan pegawai tersebut.

Jelasnya, ia bagi memastikan sama ada berlaku sebarang pelanggaran kod etika perkhidmatan atau undang-undang.

Menurutnya, SPRM menegaskan bahawa pihak suruhanjaya tidak akan berkompromi sekiranya mana-mana pegawainya didapati telah melanggar undang-undang atau mencemarkan integriti institusi tersebut.

Katanya lagi, tindakan tegas akan diambil berdasarkan prinsip ketelusan, akauntabiliti dan integriti yang menjadi teras perjuangan SPRM.

"SPRM kekal komited untuk memelihara integriti perkhidmatan awam dan memastikan kepercayaan rakyat terhadap usaha membanteras rasuah tidak terjejas," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!