'PKR ambil tindakan tegas pemimpin khianat parti'

Fuziah Salleh
Fuziah Salleh
A
A
A

KUANTAN - Parti Keadilan Rakyat (PKR) akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pemimpin dan ahli parti yang mengkhianati parti.

Pengerusi PKR negeri, Fuziah Salleh berkata, pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang didapati bersekongkol dengan parti atau kumpulan yang telah mengkhianati amanah rakyat.

"Kita akan terus memantau setiap pimpinan dan ahli-ahli parti agar mereka tidak menjadi ‘duri dalam daging' bagi merosakkan parti dari dalam.

"Kalau ada kita akan segera ambil tindakan. Bagi ahli Parlimen, mereka sudah menandatangani satu akuan untuk tidak lompat parti sewaktu mereka (ahli Parlimen) terpilih menjadi calon. Jadi, mereka yang lompat parti akan dikenakan tindakan bayar RM10 juta," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini hari ini.

Beliau berkata, PKR Pahang akan berdiri teguh dengan idealisme perjuangan keadilan seterusnya setia bersama di bawah kepimpinan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Jelasnya, kerjasama dengan rakan dalam gabungan Pakatan Harapan (PH) iaitu DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah) akan diteruskan.

"Kita akan terus bekerja kuat bagi menentukan kerajaan pintu belakang yang wujud hari ini akan diambil alih semula oleh PH.

"Ini sejajar dengan mandat yang diberikan oleh rakyat di dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lalu. Hak rakyat wajib dikembalikan kepada rakyat," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu Fuziah berkata, PKR Pahang berdukacita kerana PH yang diberi mandat oleh rakyat pada PRU14 lalu tumbang bukan kerana kehendak rakyat.

Jelasnya, sebaliknya ia disebabkan tindakan beberapa pimpinan di dalam PH termasuk pemimpin PKR sendiri yang mengkhianati dan rakus terhadap kuasa.

"Disebabkan itu kerajaan yang wujud hari ini tidak lagi mempunyai moral dan amat memalukan," katanya.