Kemenangan tanda pengiktirafan terhadap khidmat – Mohd Suparadi

Mohd Suparadi
Mohd Suparadi
A
A
A

KOTA BHARU - Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Kelantan, Datuk Seri Mohd Suparadi Mohd Noor yang mengekalkan jawatannya sebagai Ketua Cabang Tanah Merah ketika Pemilihan PKR 2025 pada Jumaat menganggap kemenangan berkenaan sebagai penilaian pengundi terhadap tanggungjawab yang dilaksanakan sepanjang memegang jawatan berkenaan.

Menurutnya, antara perkara yang diperhatikan masyarakat selama dua penggal memenangi jawatan berkenaan ialah kerja-kerja khidmat masyarakat, strategi serta hala tuju parti.

"Kemenangan ini bukan faktor ahli baharu tetapi saya rasa rakyat memilih kepada 'track record' yang baik. Tiga tahun memegang jawatan, anggota parti melihat perubahan yang berlaku," katanya kepada Sinar Harian.

Bagaimanapun katanya, sesiapa sahaja boleh bertanding dalam pemilihan itu kerana PKR berpegang kepada demokrasi.

"Keadilan meraikan demokrasi. Sesiapa sahaja boleh menawarkan diri untuk bertanding tetapi paling penting jangan menyerang peribadi," katanya.

Jelas Mohd Suparadi lagi, beliau dan jentera parti kini sedang berusaha menambah ahli untuk mengukuhkan jentera di Tanah Merah bagi membantu kemenangan pada pilihan raya umum.

Beliau juga yakin lebih ramai masyarakat akan mendapat faedah yang lebih daripada dasar Kerajaan Perpaduan.

"Paling penting kita perlu perkukuhkan parti untuk terus berjuang kerana matlamat utama kita ialah pilihan raya umum," katanya.

Melalui pemilihan pada Jumaat, Mohd Suparadi memperoleh 1,108 undi menewaskan pencabarnya Mohd Hanuzi Zaharim yang hanya meraih 351 undi.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!