Hujan tak halang Afif Amran ketuai kelayakan CP150

PEMBUKAAN musim baharu Kejuaraan Cub Prix Malaysia 2025 menyaksikan pelumba pasukan Petronas Sprinta Yamaha-CKJ Racing, Ahmad Afif Amran, mencatatkan masa terpantas dalam sesi kelayakan kategori CP150 di Litar Antarabangsa Sepang (Utara) pada Ahad.
Dalam sesi kelayakan pertama, Ahmad Afif mendahului dengan catatan masa 1'18:119 saat, diikuti pelumba Petronas Sprinta Yamaha Maju Motor, Kasma Daniel Kasmayudin (1'18:205 saat) di tempat kedua dan Md Helmi Azman (1'18:544 saat) dari pasukan Maeztro SCK Honda Racing Team di tempat ketiga.
Sesi kelayakan kedua pula berlangsung dalam keadaan hujan yang menyebabkan had kelajuan pelumba terjejas. Pelumba Jetron Yamaha YYPang Racing Team, Md Idil Fitri Mahadi, mencatat masa terpantas 1'22:058 saat, diikuti rakan sepasukan, Md Fareez Afeez Abd Rahman (1'22:289 saat) dan Md Sharul Ezwan Md Sharil dari TKKR Racing Team (1'22:410 saat) di tempat ketiga.
Secara keseluruhan, Ahmad Afif kekal sebagai pelumba terpantas, diikuti oleh Kasma Daniel dan Helmi Azman masing-masing di tempat kedua dan ketiga. Ahmad Afif menyifatkan pencapaian itu sebagai permulaan yang baik bagi musim ini.
“Hari ini merupakan permulaan yang baik untuk musim ini. Dari sesi latihan pertama hingga ke sesi kelayakan, saya sentiasa berada dalam kelompok tiga teratas.
“Dalam sesi kelayakan kedua tadi, kami cuba mengubah tetapan suspensi dan pengendalian jentera untuk menjadikannya lebih stabil. Namun, kami tidak sempat mengujinya sepenuhnya disebabkan keadaan trek yang basah. Oleh itu, saya berharap agar cuaca tidak hujan untuk perlumbaan esok,” katanya.
CP125: Izam Catat Masa Terpantas, Qayyum Cemerlang Dalam Litar Basah
Dalam kategori CP125 A, pelumba Yamaha Tekhne AHM Motor Sport, Arash Tsunami Kamarudin, mengungguli sesi latihan pertama sebelum Md Izam Ikmal Izamli dari Petronas Sprinta Yamaha-CKJ Racing mencatat masa terpantas 1'22:286 saat dalam sesi kelayakan.
Juara CP125 musim 2024, Md Syamil Amsyar Md Iffende dari Petronas Sprinta Yamaha - 31 Racing, mencatat masa 1'22:401 saat di tempat kedua, manakala rakan sepasukan Izam, Emil Idzhar Ezuan, berada di tempat ketiga dengan masa 1'22:635 saat.
Dalam sesi kelayakan sebenar yang berlangsung dalam keadaan hujan, pelumba Jetron Yamaha YYPang Racing Team, Abdullah Qayyum Abd Razak, mencatat masa terpantas 1'32:148 saat. Izam menduduki tempat kedua dengan 1'33:955 saat, diikuti rakan sepasukan Qayyum, Md Shafiq Ezzariq, di tempat ketiga (1'33:997 saat).
Qayyum menjelaskan bahawa beliau telah membuat persediaan rapi sejak awal musim dan yakin dengan kelebihannya di atas litar basah.
“Sejak awal musim ini, saya sudah menetapkan sasaran untuk memberikan yang terbaik, walaupun ini baru pusingan pertama.
“Ramai yang tahu saya mempunyai kelebihan dalam keadaan litar basah, mungkin disebabkan pengalaman dalam sukan motorcross.
“Semasa sesi kelayakan tadi, saya dan Shafiq saling membantu antara satu sama lain. Alhamdulillah, kami berjaya mencatat masa yang baik,” katanya.
Wira KBS: Md Akid Tampil Unggul di Litar Basah
Dalam kategori Wira KBS, pelumba Yamaha Estremo 27 Racing, Md Akid Md Shah Khearul Nisiam, menguasai sesi kelayakan apabila mencatat masa terpantas dalam keadaan litar yang basah.
Juara Wira KBS 2024, Farres Putra Md Fadhil dari Petronas Sprinta Yamaha - 31 Racing, mencatat masa terpantas dalam sesi latihan kedua dengan 1'24:491 saat, diikuti rakan sepasukan, Raiyan Khardanee Md Sanusi (1'24:495 saat), dan pelumba Winbox KM Axla, Md Iman Fahmi Senin (1'24:593 saat) di tempat ketiga.
Dalam sesi kelayakan, Md Akid mencatat masa terpantas 1'35:800 saat, diikuti Ahmad Iqram Danish Ahmad Ghazali dari MBI Selangor EXN Axla (1'35:875 saat) dan Md Syahmi Aiman Md Shafie dari Yamaha Estremo 27 Racing (1'36:107 saat).
Md Akid mengakui keadaan litar yang licin menguji kemampuannya dalam mengendalikan jentera.
“Keadaan litar sangat licin. Saya berusaha satu per satu pusingan dari belakang. Saya kosongkan fikiran dan hanya fokus pada sasaran kelayakan ini.
“Saya uji satu per satu, dan Alhamdulillah, dengan izin Allah, saya berjaya mencatat masa terpantas untuk pembukaan musim ini. Untuk perlumbaan esok, saya harap cuaca kering supaya lebih mudah untuk bersaing.
“Kita semua tahu Farres dan Akif sangat laju, namun saya akan cuba memberikan yang terbaik demi semua yang menyokong saya,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
