Ahmad Afif 'berdesup' di Litar Sepang

PELUMBA Petronas Sprinta Yamaha-CKJ-CKU Racing, Ahmad Afif Amran memberi amaran awal kepada pencabar lain apabila berjaya menjuarai perlumbaan pembukaan Kategori CP150 Kejuaraan Cub Prix Malaysia di Litar Antarabangsa Sepang (Utara) pada Ahad.
Afif yang bermula dari petak keempat, menampilkan tunggangan bertenaga dan konsisten sepanjang 15 pusingan sebelum menamatkan saingan dengan masa keseluruhan 14 minit 37.815 saat.
Perlumbaan berlangsung sengit dengan pertukaran pendahulu yang kerap pada setiap pusingan.
Dua pusingan terakhir menyaksikan Afif kembali mendahului dari kedudukan ketujuh sebelum dipintas Helmi Azman dan Md Irfan Haykhal dari pasukan Maeztro SCK Honda Racing Team.

Namun, Afif kekal tenang dan mengambil peluang di selekoh terakhir untuk memintas semula, seterusnya memenangi saingan yang penuh dramatik itu.
Danial Syahmi Ahmad Shahril (Petronas Sprinta Yamaha Maju Motor) menamatkan perlumbaan di tempat kedua (14:37.837s) manakala rakan sepasukan Afif, Akid Aziz, di tempat ketiga (14:37.851s).
Sesi shoot out sebelum perlumbaan menyaksikan Danial Syahmi mencatat masa terpantas 1:17.868s untuk bermula dari petak pertama.
Sementara itu, Afif menyifatkan kemenangan tersebut sebagai hasil pengorbanan seluruh ahli pasukannya yang sentiasa berusaha mempersiapkan jentera perlumbaan.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada pasukan yang telah banyak berkorban untuk saya.
“Alhamdulillah, dari bulan puasa hingga ke Hari Raya Aidilfitri, mereka tidak pernah berehat dalam menjalankan penyelidikan dan pembangunan untuk jentera saya demi mencapai prestasi terbaik pada pusingan ini. Syukur, segala usaha kami akhirnya membuahkan hasil,” katanya.
Izam dominasi CP125 dengan tunggangan berstrategi
Dalam Kategori CP125, pelumba Petronas Sprinta Yamaha-CKJ-CKU Racing, Md Izam Ikmal Izamli menampilkan aksi cemerlang apabila menamatkan perlumbaan dengan masa keseluruhan 11:20.247s, sekali gus mendahului pelumba lain sejak awal perlumbaan.
Tempat kedua diraih Md Haziq Md Hamdan (Petronas Sprinta Yamaha 31 Racing) dengan catatan 11:20.755s, diikuti Md Adie Putra Sukarno (Petronas Sprinta Yamaha Maju Motor) di tempat ketiga (11:21.115s).
Menurut Izam, perlumbaan penuh cabaran itu memerlukan fokus tinggi memandangkan beberapa pelumba cuba memintasnya sejak pusingan awal.
“Pada dua pusingan terakhir saya keliru sama ada kekal di depan atau beri laluan dahulu, tetapi saya kekalkan momentum dan berjaya menamatkan perlumbaan di tempat pertama,” katanya.

Raiyan ungguli Wira KBS untuk podium sulung musim ini
Dalam Kategori Wira Kementerian Belia dan Sukan (KBS), podium dikuasai sepenuhnya pelumba Petronas Sprinta Yamaha-31 Racing apabila Raiyan Khardanee Md Sanusi muncul juara dengan masa 10:10.190s.
Farres Putra Md Fadhil berada di tempat kedua (10:10.224s) manakala tempat ketiga menjadi milik Md Arrfan Ashraf (10:10.493s).
Raiyan memuji perancangan taktikal pasukannya yang disifatkan menjadi kunci kejayaan pada pusingan pertama ini.
“Kami telah merancang strategi terbaik untuk mendahului, dan Alhamdulillah ia berjaya. Terima kasih kepada pasukan dan ibu saya yang sentiasa menyokong,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!