Melaka kekurangan bot angkut pelancong ke ICQS

Hameed Mytheen (kiri) ketika melayani tetamu yang hadir Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri DUN Ayer Limau di Kampung Seri Jeram, Masjid Tanah, pada Jumaat.
Hameed Mytheen (kiri) ketika melayani tetamu yang hadir Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri DUN Ayer Limau di Kampung Seri Jeram, Masjid Tanah, pada Jumaat.
A
A
A

MELAKA - Melaka kini berdepan isu kekurangan bot penumpang bagi mengangkut pelancong dari kapal persiaran ke Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS), sekali gus menimbulkan kebimbangan terhadap pengalaman pelancong ke negeri ini.

Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer berkata, ketika ini hanya dua bot tersedia dengan kapasiti 280 penumpang bagi setiap perjalanan, sedangkan jumlah pelancong mencecah lebih 4,000 orang dalam satu-satu masa.

Katanya, situasi itu menyebabkan bot terpaksa berulang-alik selama tiga jam untuk membawa semua pelancong ke darat, sekali gus berisiko menjejaskan reputasi dan kepuasan pelancong yang memilih Melaka sebagai destinasi pelancongan melalui jalan laut.

"Kerajaan negeri memandang serius perkara ini dan memberi jaminan akan menambah bilangan bot dalam tempoh enam bulan ini," katanya pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri DUN Ayer Limau di Kampung Seri Jeram, Masjid Tanah, malam Jumaat.

Hameed yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Limau berkata, isu itu telah dibentangkan dalam mesyuarat Exco baru-baru ini, dengan dua syarikat swasta sudah menyatakan hasrat menyediakan perkhidmatan bot tambahan.

Namun katanya, proses kelulusan bagi bot-bot baharu mengambil sedikit masa kerana perlu melalui pemeriksaan teknikal dan keselamatan terlebih dahulu.

"Kita harap agensi terlibat dapat mempercepatkan proses itu demi memastikan penambahan bot dapat dilaksanakan segera," katanya.

Beliau berkata, selain kapal persiaran Genting Dream Cruise dan Star Voyager yang membawa antara 3,000 hingga 4,000 pelancong, sebanyak tujuh lagi kapal mewah dijadual berlabuh di Melaka dalam masa terdekat.

"Jadi sudah tibanya masa untuk kita tambah bot penumpang yang sangat diperlukan bagi menambah baik jalan masuk pelancong melalui laut," katanya lagi.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!