Polis beri jaminan trafik dan keselamatan lancar sepanjang mesyuarat ASEAN di Pulau Pinang

BUTTERWORTH - Polis Pulau Pinang akan menggunakan sepenuhnya kekuatan kontinjen negeri itu dalam penugasan sepanjang persidangan ASEAN yang akan berlangsung di negeri itu.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Hamzah Ahmad berkata, persiapan rapi sudah dilakukan melibatkan aspek keselamatan dan lalu lintas bagi memastikan kelancaran mesyuarat sepanjang persidangan ASEAN kelak.
Menurutnya, Polis Pulau Pinang mempunyai kemampuan tinggi untuk menangani isu keselamatan dan lalu lintas semasa mesyuarat ASEAN nanti.
"Kita akan menempatkan pegawai dan anggota di lokasi tumpuan utama di negeri itu bagi menguruskan keperluan sepanjang acara berlangsung.
"Buat masa ini semuanya dalam keadaan baik dan kita akan gunakan semua sumber dan kekuatan di Kontinjen Pulau Pinang bagi menguruskan isu keselamatan dan lalulintas sepanjang tempoh persidangan yg dijangka akan berlangsung," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Advokasi sempena Op Selamat 23/2025 Tahun Baharu Cina Peringkat PDRM Kontinjen Pulau Pinang di Plaza Tol Sungai Dua arah Selatan di Sungai Dua, pada Jumaat.
Mengulas lanjut, Hamzah berkata, pihaknya telah mengadakan beberapa mesyuarat perancangan termasuk sesi bersama pihak berkuasa tempatan berhubung perkara ini.
Media sebelum ini melaporkan Pulau Pinang bakal menjadi tuan rumah kepada 13 mesyuarat utama sepanjang Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025, melibatkan perbincangan pada peringkat kerja, pegawai kanan, dan menteri yang akan dijalankan oleh tujuh kementerian.
Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pengurusan) Pulau Pinang, Datuk Abdul Kahar Abdullah berkata, mesyuarat-mesyuarat itu meliputi pelbagai bidang kerjasama strategik antara negara anggota ASEAN, merangkumi aspek keselamatan, ekonomi, pelaburan, perdagangan, pendidikan, dan pembangunan belia.
Tujuh kementerian yang terlibat ialah Kementerian Pertahanan, Kementerian Luar Negeri, Kementerian Kewangan, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri; Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Belia dan Sukan, serta Kementerian Pengajian Tinggi.
Malaysia mengambil alih peranan Pengerusi ASEAN 2025 dengan tema Keterangkuman dan Kemampanan, melambangkan aspirasi untuk membimbing blok serantau berusia 58 tahun ini ke arah masa depan yang lebih bersatu, dinamik dan mampan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
