PRK Ayer Kuning: Toleransi orang Melayu cukup tinggi - Saravanan

Saravanan mahu kejohanan sama diteruskan untuk memberi peluang kepada bakat muda menunjukkan kemampuan.
Saravanan mahu kejohanan sama diteruskan untuk memberi peluang kepada bakat muda menunjukkan kemampuan.
A
A
A

TAPAH - Pengundi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning sudah cukup matang dan menolak naratif yang berlandaskan isu remeh, kata Ahli Parlimen Tapah, Datuk Seri M Saravanan.

Menurut beliau, keyakinan tersebut didasari rekod Barisan Nasional (BN) yang konsisten serta penerimaan masyarakat pelbagai kaum terhadap kepimpinan inklusif yang ditunjukkan di kawasan itu.

Menurutnya, usaha parti lawan membawa isu kandang babi dan masalah paip bocor dalam kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) hanyalah cubaan mengalihkan perhatian daripada isu sebenar yang lebih besar iaitu pembangunan rakyat.

"Insiden boleh berlaku di mana-mana. Putrajaya pun ada paip bocor. Kalau betul mereka mahu jadi juara rakyat, kenapa tunggu pilihan raya baru nak bersuara tentang kandang babi yang dah ada lebih 50 tahun?, " katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas menyempurnakan Kejohanan Bola Sepak Grassroots U8, U10, U12 Piala Datuk Seri M Saravanan di Stadium Tun Ahmad Sarji di sini pada Sabtu.

Kejohanan bola sepak yang dianjurkan khusus untuk kanak-kanak di bawah 12 tahun itu merupakan langkah terbaik bagi mengenal pasti bakat muda.
Kejohanan bola sepak yang dianjurkan khusus untuk kanak-kanak di bawah 12 tahun itu merupakan langkah terbaik bagi mengenal pasti bakat muda.

Hadir sama, calon BN PRK DUN Ayer Kuning, Dr Mohamad Yusri Bakir.

Timbalan Presiden MIC itu menegaskan, isu tersebut sebelum ini tidak pernah mencetuskan bantahan besar daripada penduduk setempat.

Malah katanya, masyarakat Melayu di kawasan Tapah telah lama menunjukkan tahap toleransi yang tinggi terhadap kepelbagaian kaum dan bangsa.

Artikel Berkaitan:

"Saya perlu akui sikap toleransi orang-orang Melayu cukup tinggi. Kalau tidak, mereka tak akan terima saya sebagai wakil rakyat daripada India selama empat penggal.

"Tapah juga satu-satunya kawasan (Parlimen dan DUN) yang boleh pilih Melayu, Cina dan India sebagai wakil rakyat.

"Ini bukti perpaduan di Tapah yang boleh jadi model kepada seluruh negara," katanya lagi.

Saravanan berkata, keutamaan yang dibawa BN bersama kerajaan adalah untuk memacu agenda pembangunan modal insan khususnya dalam kalangan belia dan kelompok tercicir di kawasan luar bandar.

"Kita ada dua kategori, yang berjaya dalam akademik dan yang tercicir. Untuk yang berjaya, kita sediakan latihan dan bimbingan untuk cemerlang di peringkat antarabangsa.

"Bagi yang tercicir, kita adakan program latihan kemahiran termasuk untuk ibu tunggal," katanya.

Jelas beliau, Tapah yang merupakan kawasan campuran bandar dan luar bandar memerlukan pendekatan pembangunan yang realistik dan bukannya impian membina menara kembar seperti di bandar besar.

"Kita tidak bolehlah membina menara berkembar di Tapah, tetapi kita boleh melahirkan generasi yang mempunyai modal insan tinggi dan berdaya saing," katanya.

Sementara itu, Saravanan berkata, kejohanan bola sepak yang dianjurkan khusus untuk kanak-kanak di bawah 12 tahun itu merupakan langkah terbaik bagi mengenal pasti bakat muda.

"Sebanyak 17 pasukan dari seluruh negara telah menghantar penyertaan.

"Kita akan teruskan kejohanan sama seperti ini untuk memberi peluang kepada mereka menunjukkan bakat dan siapa tahu suatu hari nanti mampu menjadi pemain yang akan mewakili negara," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!