X

Kindly register in order to view this article
!

Dana antara cabaran terbesar sukan negara: Syed Saddiq

Syed Saddiq bersama bekas timbalannya Steven Sim Chee Keong bergambar kenangan bersama warga kerja KBS pada majlis perpisahannya di Menara KBS hari ini. -Foto Bernama
A
A

PUTRAJAYA - Mendapatkan peruntukan sewajarnya demi kelangsungan bidang sukan di negara ini merupakan cabaran utama bekas Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman sepanjang 22 bulan menerajui kementerian itu.

Syed Saddiq yang juga Ahli Parlimen Muar daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berkata, antara perkara yang berjaya dilakukan dalam tempoh itu ialah mendapat tajaan berjumlah RM5 juta bagi persiapan atlet ke Sukan Paralimpik Tokyo 2020, jumlah terbesar yang pernah diterima Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

“Kita (KBS) dapatkan penajaan terbesar bagi sukan paralimpik yang kita tidak pernah terima jumlah sebegitu sebelum ini dan buat pertama kali kita akan ada dana tambahan RM30 juta untuk KBS bagi tujuan pembangunan melalui pengenalan cukai gula,” katanya kepada pemberita pada majlis penghargaan di Menara KBS di sini hari ini.

Turut hadir pada majlis itu adalah Ketua Setiausaha KBS, Datuk Dr Waitchalla R.R.V Suppiah, bekas Timbalan Menteri Belia dan Sukan Steven Sim Chee Kiong dan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Datuk Ahmad Shapawi Ismail.

Sementara itu, Ahmad Shapawi berkata, sepanjang tempoh menerajui kementerian itu, Syed Saddiq amat mengambil berat soal kebajikan atlet dan pegawai sukan selain usaha memastikan bidang sukan mendapat perhatian khususnya dari segi peruntukan.

“Sukan adalah satu bidang yang menyumbang kepada pembangunan sosial negara dan pada masa sama memerlukan satu kedudukan kewangan yang agak besar.

“Beliau (Syed Saddiq) berjaya mendapatkan beberapa peruntukan yang membantu MSN kerana sebelum ini kita terpaksa bergerak dalam keadaan berjimat cermat untuk memberikan prestasi terbaik,” jelas Ahmad Shapawi.

Syed Saddiq, 27, melakar rekod dalam sejarah kepimpinan negara apabila menjadi menteri termuda selepas Pakatan Harapan (PH) memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14 pada 2018.

Bagaimanapun, beliau terpaksa akur meninggalkan KBS berikutan perubahan landskap politik negara. -Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!