Altel Digital lonjak Malaysia peneraju teknologi angkasa lepas

Fahmi (dua dari kiri) bersama Mohamad Helmi Harith (dua dari kanan) dan Tony (kiri) melancarkan Altel Digital pada Jumaat.
Fahmi (dua dari kiri) bersama Mohamad Helmi Harith (dua dari kanan) dan Tony (kiri) melancarkan Altel Digital pada Jumaat.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Malaysia melonjak ke arah menjadi peneraju serantau dalam teknologi berasaskan angkasa lepas menerusi pelancaran rasmi Altel Digital Integrated Sdn Bhd (Altel Digital).

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, kerjasama strategik antara Altel Group Sdn Bhd (Altel) dan Zhejiang Geespace Technology Co Ltd (Geespace) menandakan usaha Malaysia memanfaatkan teknologi satelit orbit bumi rendah (LEO) sebagai pemacu transformasi digital, perindustrian dan ekonomi negara.

“Altel Digital ditubuhkan dengan misi jelas iaitu menerajui pembangunan teknologi satelit LEO dan aplikasi industrinya, bukan sahaja dalam Malaysia tetapi juga di seluruh rantau ASEAN.

“Ia akan menawarkan empat perkhidmatan teras seperti teknologi Internet Kebendaan (IoT) berasaskan satelit, kedudukan ketepatan tinggi, jarak balik satelit serta jalur lebar satelit dan perkhidmatan terus ke peranti selular.

“Perkhidmatan ini dijangka memberi manfaat besar kepada sektor kritikal Malaysia seperti pelabuhan pintar, perkapalan maritim, mobiliti pintar, pembuatan termaju, pertanian jitu, tenaga pintar dan elektronik pengguna,” katanya.

Fahmi (kiri) bersama Tony (kanan) melihat pameran selepas melancarkan Altel Digital pada Jumaat.
Fahmi (kiri) bersama Tony (kanan) melihat pameran selepas melancarkan Altel Digital pada Jumaat.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan perasmian dalam majlis pelancaran Altel Digital di Hotel Grand Hyatt di sini pada Jumaat.

Artikel Berkaitan:

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Geespace, Tony Wang; CEO Kumpulan Altel, Mohamad Helmi Harith; CEO Geely Holding Malaysia, Dr Wei Mei dan Timbalan CEO Altel Digital, Khoo Yuen Hing.

Mengulas lanjut, Fahmi berkata, syarikat tersebut akan bekerjasama dengan agensi kerajaan utama dalam projek strategik negara dan usaha itu diselaraskan dengan rangka kerja negara seperti Dasar Angkasa Negara 2030, rancangan Rangkaian Digital Nasional Tadbir Urus (Jendela) dan Akta Keselamatan Siber 2024.

Dalam pada itu, Yuen Hing berkata, Altel Digital akan menyediakan infrastruktur perkhidmatan satelit dan komunikasi dalam tempoh 24 bulan akan datang.

“Ia akan memanfaatkan rangkaian komunikasi satelit LEO global Geesatcom, selain menggabungkannya dengan infrastruktur rangkaian terestrial demi menyediakan ketersambungan tanpa gangguan di seluruh Malaysia dan Asia Tenggara.

“Kami akan mewujudkan dua stesen bumi, dua pusat telemetri pengesanan dan perintah (TT&C), pusat data penggunaan dan rangkaian penentu kedudukan PPP-RTK secara berperingkat.

“Altel Digital menyasar untuk mengukuhkan kedudukannya sebagai perintis penyedia tempatan Malaysia bagi perkhidmatan satelit LEO, termaju daripada Geespace di samping melindungi kepentingan serta keselamatan negara,” ujarnya.

Tambah Yuen Hing, operasi komersial Altel Digital dijangka akan bermula pada tahun ini dengan memberi tumpuan terhadap sektor maritim, pertanian, pengangkutan dan tenaga.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!