Telok Gong jadi perintis dasar sifar pelepasan di Selangor

SHAH ALAM - Kerajaan Selangor menguatkuasakan dasar sifar pelepasan atau Zero Discharge Policy (ZDP) di kawasan perindustrian Telok Gong sebagai langkah strategik jangka masa panjang bagi mengawal pencemaran sumber air dari aktiviti industri.
Exco Kesihatan Awam dan Alam Sekitar, Jamaliah Jamaluddin berkata, pelaksanaan dasar ini adalah sebahagian daripada Peraturan-Peraturan Pelesenan Pembuangan Air Kembalian serta Kemasukan dan Pelepasan Bahan Pencemar (Negeri Selangor) 2024 untuk memastikan tiada pelepasan buangan secara terus ke alam sekitar.
Menurut beliau, ZDP menumpukan kawalan air buangan dari punca dan Telok Gong menjadi kawasan pertama di Selangor melaksanakan sepenuhnya sebagai model kawalan pencemaran industri mampan.
"Setakat ini, sebanyak 92 lesen ZDP telah dikeluarkan kepada premis industri di kawasan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Jamaliah berkata, pelaksanaan dasar itu dijalankan melalui kerjasama antara Lembaga Urus Air Selangor (LUAS), Persatuan Pekilang-Pekilang Telok Gong serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelabuhan Klang, Azmizam Zaman Huri menerusi sesi libat urus pada 5 Disember tahun lalu.
Beliau memberitahu, selain pelaksanaan ZDP, LUAS turut menjalankan River Monitoring Program (RMP) sejak April 2023 dan inisiatif pemuliharaan air bermula Disember tahun lalu.
"Hasilnya, kualiti air di beberapa kawasan seperti Jalan Ikan Tampang dan Pos PGA Jeti Perajurit menunjukkan peningkatan ke tahap Kelas Ketiga," tambah beliau.
Jamaliah menjelaskan, pelaksanaan berterusan dasar ZDP dan inisiatif lain oleh LUAS serta agensi berkaitan seperti Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK), kerajaan negeri yakin kualiti air di Telok Gong akan terus meningkat dengan kerjasama semua pihak berkepentingan.
"Kerajaan negeri tidak akan berkompromi terhadap sebarang aktiviti yang mencemarkan sumber air dan tindakan tegas akan diambil mengikut peruntukan Seksyen 79(4) Enakmen LUAS 1999," tegas beliau.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!