Kes kanak-kanak autisme meningkat di AS

LOS ANGELES - Kira-kira seorang daripada setiap 31 kanak-kanak Amerika Syarikat (AS) berusia lapan tahun telah didiagnosis dengan gangguan spektrum autisme (ASD) pada tahun 2022, menurut laporan baharu yang diterbitkan oleh Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC).
Penemuan itu berdasarkan analisis Kajian Rangkaian Pemantauan Autisme dan Ketidakupayaan Perkembangan CDC yang dijalankan pada tahun 2022 melibatkan 16 lokasi di seluruh AS terhadap kanak-kanak berusia lapan tahun.
Menurut laporan yang dikeluarkan pada Selasa, kadar terkini bilangan kes autisme adalah 4.8 kali lebih tinggi berbanding 22 tahun lalu, ketika kadar itu hanya seorang dalam 150 kanak-kanak.
Kanak-kanak minoriti didapati lebih terkesan. Kanak-kanak berbangsa kulit hitam, Asia dan Hispanik dalam kajian tahun 2022 menunjukkan kadar ASD yang lebih tinggi berbanding kanak-kanak kulit putih dan lebih cenderung mengalami bentuk autisme yang lebih teruk.
“Laporan ini mendedahkan beberapa krisis kesihatan awam yang kritikal, termasuk peningkatan berterusan dalam kes austime ASD, peningkatan mendadak dalam tahap keterukan kes, serta jurang yang semakin ketara antara kumpulan kaum dan etnik,” menurut kenyataan Jabatan Kesihatan dan Perkhidmatan Manusia (HHS) AS.
“Wabak autisme kini telah mencapai skala yang tidak pernah berlaku dalam sejarah manusia kerana ia menjejaskan golongan muda,” kata Setiausaha HHS, Robert F. Kennedy, Jr. - Xinhua
Info
Kadar kes austime yang direkodkan tertinggi di dunia
1. Amerika Syarikat (AS
2. Korea Selatan
3. Kanada
4. Australia
5. United Kingdom (UK)
*Rekod diperoleh berdasarkan kemajuan dalam sistem diagnosis, kesedaran awam, dan akses kepada perkhidmatan kesihatan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!