(G)I-DLE dan BamBam gegar Stadium Merdeka Jun Ini

Live Universe mengumumkan konsert K-Pop pertama di Stadium Merdeka pada 14 Jun 2025, menampilkan (G)I-DLE dan BamBam.
Live Universe mengumumkan konsert K-Pop pertama di Stadium Merdeka pada 14 Jun 2025, menampilkan (G)I-DLE dan BamBam.
A
A
A

PEMINAT K-Pop tanah air bakal disajikan dengan satu pengalaman muzik yang tidak boleh dilepaskan apabila dua nama besar dari Korea Selatan, (G)I-DLE dan BamBam (GOT7), disatukan dalam satu konsert istimewa di Stadium Merdeka pada 14 Jun ini.

Konsert yang dianjurkan oleh Live Universe itu bukan sekadar satu acara hiburan tetapi merupakan detik bersejarah memandangkan ini adalah kali pertama konsert K-Pop dianjurkan di Stadium Merdeka, sebuah lokasi ikonik yang penuh nilai simbolik bagi rakyat Malaysia.

Menurut wakil Live Universe: “Kami berdedikasi untuk membawakan pengalaman yang tiada tandingan kepada peminat K-Pop di Malaysia. Sebagai tuan rumah kepada (G)I-DLE dan BamBam di Stadium Merdeka, acara ini bukanlah sekadar konsert, tetapi ia adalah pencapaian bersejarah yang akan dikenang untuk tempoh yang panjang.”

BamBam, bekas anggota GOT7 yang kini aktif sebagai artis solo, akan kembali memeriahkan pentas Malaysia buat kali kedua.

Selepas kejayaan konsert jelajah solonya "AREA 52", kemunculan semula BamBam kali ini dijangka membawakan kelainan dengan persembahan yang lebih mantap dan matang.

EP sulungnya, riBBon, telah mendapat sambutan hangat dan memaparkan sisi kreatif BamBam sebagai penulis dan penerbit lagu.

Sementara itu, kumpulan wanita berkarisma, (G)I-DLE, pula bakal membuat penampilan penuh bergaya dengan barisan lagu hit seperti “Latata”, “Oh My God” dan “Tomboy”.

Dianggotai oleh Miyeon, Minnie, Soyeon, Yuqi, dan Shuhua, (G)I-DLE telah pun mengukuhkan nama mereka dalam industri K-Pop antarabangsa.

Artikel Berkaitan:

Album mereka, I Never Die, pernah tersenarai dalam “The Best Albums of 2022” oleh majalah Time, membuktikan daya kreativiti dan keunikan mereka dalam menyampaikan muzik berkualiti tinggi.

Bagi menambah kemeriahan, Live Universe turut menawarkan cabutan bertuah eksklusif kepada 10,000 pembeli tiket awal kategori CAT1, CAT2, atau CAT3 untuk membawa pulang sebuah Toyota Vellfire.

Manakala pembeli pertama tiket CAT4, CAT5, atau CAT6 akan dimasukkan dalam cabutan berasingan dengan lima pemenang bertuah akan menerima iPhone 16.

Tiket-tiket mula dijual pada 16 April menerusi Ticket2U.com.my bermula harga RM1,098 hingga RM367.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!