MATTA Connect 2025: Platform pertukaran pelancongan perniagaan antarabangsa

MATTA Connect menghimpunkan seramai 186 penjual daripada 93 organisasi dari 27 buah negara
MATTA Connect menghimpunkan seramai 186 penjual daripada 93 organisasi dari 27 buah negara
A
A
A

PERSATUAN Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) mencipta satu lagi kejayaan dengan penganjuran edisi sulung program padanan perniagaan pelancongan (B2B), MATTA Connect 2025 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) di sini pada Khamis.

Acara diadakan sehari sebelum MATTA Fair 2025 ini menjadi bukti komitmen berterusan MATTA dalam memperkukuh sektor pelancongan masuk dan keluar negara menerusi kerjasama strategik antara ejen pelancongan tempatan dan pembekal pelancongan antarabangsa.

Menurut Presiden MATTA, Nigel Wong Chee Meng, MATTA Connect menghimpunkan seramai 186 penjual daripada 93 organisasi dari 27 buah negara, bersama 145 pembeli berdaftar dari rantau ASEAN bagi meneroka peluang perniagaan baharu serta membina jaringan kerjasama jangka panjang.

Nigel Wong
Nigel Wong

Antara organisasi antarabangsa yang turut serta dalam sesi pembentangan pentas utama ialah Visit Indochina dari Vietnam, Macao Global Tourism, Saudi Tourism Authority, dan Atout France.

Jelasnya, pembentangan berkenaan memberi pandangan langsung dan terkini berkaitan destinasi pelancongan, pasaran baharu dan hala tuju industri.

“Matlamat kami adalah untuk memberi nilai kepada ahli-ahli kami dan komuniti pelancongan secara keseluruhan, dan ini jelas terbukti menerusi kejayaan MATTA Connect.

"Inisiatif seperti ini penting untuk membawa industri pelancongan ke tahap yang lebih tinggi serta memupuk kerjasama jangka panjang antara pelbagai pihak,” ujarnya dalam kenyataan pada Khamis.

Artikel Berkaitan:

MATTA Connect turut melengkapi pelbagai inisiatif MATTA yang memberi tumpuan kepada sokongan terhadap ejen pelancongan dalam menghadapi perubahan industri yang pesat melalui inovasi, kelestarian dan perkongsian ilmu.

Sempena ulang tahun ke-50 MATTA pada tahun ini, inisiatif seperti MATTA Connect menegaskan lagi peranan penting persatuan ini dalam menyokong dan menghubungkan semua pihak berkepentingan dalam industri pelancongan dan pengembaraan negara.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!