Gaya hidup 'manusia tikus' jadi pilihan anak muda China
BEIJING - Trend hidup baharu yang digelar 'manusia tikus' semakin popular dalam kalangan anak muda di China apabila mereka memilih untuk menjauhkan diri daripada kejayaan dan tekanan masyarakat.
Golongan itu tidak menjalani rutin harian yang produktif seperti bangun awal, bersenam atau mengejar jadual kerja yang padat, sebaliknya lebih gemar berehat di atas katil, memesan makanan segera dan mengelak bersosial.
Istilah 'manusia tikus' mula mendapat perhatian selepas seorang wanita dari wilayah Zhejiang memuat naik satu video nama @jiawensishi di aplikasi Douyin memaparkan dia menjalani gaya hidup tersebut pada Februari lepas.
Dalam video tersebut, wanita berkongsi beberapa rutin hariannya seperti menghabiskan masa atas katil selama tiga jam sambil melihat telefon bimbit selepas bangun dan tidur semula selama lima jam selepas bangun.
Dia turut berkongsi hanya menjamah makanan apabila dikejutkan ibu bapanya pada waktu petang.
Wanita itu kemudiannya mandi pada jam 2 pagi selepas membuka bungkusan barang yang telah dikumpulnya selama seminggu.
Dengan rutin kehidupan itu, wanita berkenaan menggelarkan dirinya sebagai 'manusia tikus', dan menyamakan kehidupan menyendiri dan tidak aktif itu dengan sifat tikus yang tinggal di dalam saluran kumbahan.
Video itu mencetuskan fenomena apabila menerima lebih 400,000 tanda suka dengan pelbagai komen yang menyokong gaya hidup tersebut kerana dianggap lebih bebas dan tidak membebankan.
Sehingga kini, istilah 'manusia tikus' telah mencatat lebih dua bilion tontonan di media sosial tersebut dan turut menular dalam kalangan pelajar China di luar negara.- Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

