Permohonan program TVET sepenuh masa kini dibuka

Ahmad Zahid
Ahmad Zahid
A
A
A

SHAH ALAM - Permohonan kemasukan ke program-program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) bagi kursus sepenuh masa ambilan Perdana Julai 2025 kini dibuka mulai 14 April hingga 15 Jun 2025.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, permohonan terbabit boleh dibuat melalui platform UP_TVET.

Beliau menjelaskan, UP_TVET merupakan satu sistem permohonan berpusat yang dibangunkan sebagai inisiatif Kerajaan Madani untuk menyatukan akses kepada pelbagai institusi TVET awam dan swasta di seluruh negara.

"Sistem itu diwujudkan bukan sahaja untuk memudahkan proses permohonan, tetapi juga bagi memastikan program ditawarkan benar-benar relevan dan selari dengan keperluan semasa dan masa hadapan industri.

"Sebagai Pengerusi Majlis TVET Negara, saya ingin menyeru kepada semua lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) serta individu yang berminat untuk membina kerjaya dalam bidang kemahiran agar merebut peluang ini," katanya dalam satu kenyataan media pada Selasa.

Menurutnya, terdapat pelbagai program ditawarkan dalam UP_TVET meliputi bidang pembuatan, pertanian moden, pembinaan, perkhidmatan, teknologi maklumat, kesihatan dan sebagainya.

Dalam perkembangan sama, beliau menggalakkan mereka yang memerlukan fleksibiliti untuk meneroka laluan UP_TVET Flexi yang telah dibuka sejak Januari lepas, iaitu sistem modular yang membolehkan pembelajaran mengikut jadual dan keperluan individu.

Ahmad Zahid menegaskan, TVET ketika ini bukan lagi pilihan alternatif, sebaliknya telah menjadi landasan utama kepada kerjaya yang kukuh, bergaji kompetitif, dan berpotensi tinggi dalam pelbagai sektor strategik seperti automasi, teknologi hijau, dan kecerdasan buatan (AI).

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, Kerajaan Madani komited untuk memperluas akses pendidikan TVET demi melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi yang mampu bersaing di peringkat global.

"Mari kita bersama-sama jadikan TVET sebagai batu loncatan untuk membina dan memacu masa depan yang lebih sempurna demi diri kita, keluarga dan negara yang kita cintai.

"Untuk maklumat lanjut dan permohonan, orang ramai boleh melayari https://mohon.tvet.gov.my," menurut Ahmad Zahid lagi.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!