Selangor kenang jasa Tun Abdullah, MB sampaikan ucapan takziah

KUALA LUMPUR - Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari menyifatkan pemergian Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi sebagai satu kehilangan besar buat negara, khususnya dalam dunia pentadbiran dan politik tanah air.
Mewakili kerajaan negeri Selangor, beliau merakamkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga Allahyarham atas pemergian Perdana Menteri kelima itu yang menghembuskan nafas terakhir pada jam 7.10 malam Isnin di Institut Jantung Negara (IJN).
“Selaku Perdana Menteri dan pentadbir kerajaan yang begitu lama, sudah pasti banyak jasa beliau kepada negara. Adat Istiadat Penghormatan Negara dan pemakaman di Makam Pahlawan yang diberikan kepada beliau merupakan tanda penghargaan daripada kerajaan dan rakyat Malaysia atas segala sumbangannya,” katanya ketika ditemui di Masjid Negara pada Selasa.
Amirudin turut memaklumkan bahawa bagi rakyat Selangor, segala jasa dan perit jerih Allahyarham semasa mengetuai pentadbiran negara sentiasa dikenang dan dihargai.
“Saya mengucapkan takziah buat seluruh ahli keluarga dan rakan Allahyarham.
"Semoga rohnya dicucuri rahmat dan segala perkara baik yang beliau lakukan semasa pentadbiran dan perkhidmatan diberikan ganjaran terbaik oleh ALLAH SWT,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

