Lawatan Presiden China: 1,089 anggota polis ditugaskan kawal keselamatan, trafik

Rusdi
Rusdi
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seramai 1,089 anggota dan pegawai polis ditugaskan bagi kawalan keselamatan dan trafik sempena lawatan rasmi Presiden China, Xi Jinping ke Malaysia.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, kawalan keselamatan bermula Selasa sehingga Khamis nanti bagi memastikan lawatan tersebut berjalan lancar.

"Penutupan sepenuhnya laluan yang terlibat adalah satu keperluan ditetapkan dalam prosedur operasi standard (SOP) keselamatan bagi acara-acara penting terutama membabitkan pemimpin negara," katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Serah Terima Tugas Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur di Kontinjen Kuala Lumpur pada Isnin.

Rusdi berkata, beberapa jalan akan ditutup sepenuhnya selama 30 hingga 40 minit kerana satu keperluan bagi memastikan semua yang dirancang berjalan lancar.

“Justeru, kita menasihatkan orang ramai agar memberi kerjasama kepada pihak polis,” katanya.

Ditanya sama ada terdapat ancaman sempena lawatan terbabit, Rusdi berkata, tindakan itu perlu dilakukan kerana lawatan itu membabitkan pemimpin dunia yang ‘penting’.

“Di mana-mana ada risiko tertentu dan ancaman, namun ia adalah SOP biasa bagi lawatan melibatkan pemimpin yang menguasai ekonomi dunia.

“Kita perlu pastikan negara kita menyambut mereka (delegasi China) dengan baik dan teratur,” ujarnya.

Media semalam melaporkan sebanyak 17 laluan utama di Lembah Klang dan Putrajaya akan ditutup atau dilencongkan sementara dari Selasa hingga Khamis.

Artikel Berkaitan:

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri dilaporkan berkata, penutupan jalan secara penuh dan lencongan akan dilakukan selama 30 hingga 45 minit bagi memberi laluan kepada pergerakan delegasi negara tersebut.

Antara laluan yang terlibat termasuk Lebuhraya Utara-Selatan Hubungan Tengah (ELITE), Lingkaran Putrajaya, Lebuhraya Putrajaya-Dengkil, Persiaran Selatan, Lebuh Gemilang dan Jalan P5.

Jalan-jalan utama di sekitar pusat bandar Kuala Lumpur turut terlibat antaranya Jalan Sultan Abdul Halim, Jalan Sultan Iskandar, Jalan Damansara dan Jalan Istana.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!