Lawatan Xi Jinping kukuh kerjasama pendidikan TVET Malaysia-China

SHAH ALAM - Lawatan negara Presiden China, Xi Jinping ke Malaysia selama tiga hari bermula Selasa dilihat sebagai langkah penting untuk memperkukuh kerjasama dua hala, khususnya dalam bidang Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET).
Presiden Pertubuhan Kebangsaan Pekerja Berkemahiran (Belia Mahir), Mohammad Rizan Hassan berkata, sehingga kini Malaysia telah menghantar seramai 2,576 bakat tempatan ke China dalam pelbagai bidang melalui program latihan jangka masa pendek dan panjang di bawah inisiatif Malaysia-China Institute (MCI) yang digerakkan oleh pertubuhan berkenaan.
"Usaha ini bukan sahaja meningkatkan kualiti dan daya saing tenaga kerja Malaysia, tetapi turut memperkukuhkan hubungan strategik antara kedua-dua negara dalam bidang pendidikan dan kemahiran teknikal.
"Golongan belia Malaysia kini mempunyai harapan baharu dengan melihat China sebagai destinasi utama untuk mendapatkan latihan TVET yang relevan dan berkualiti tinggi," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Ujarnya, peluang ini dilihat mampu membuka jalan kepada prospek kerjaya masa hadapan yang lebih cerah dan kompetitif, seterusnya memberi manfaat besar kepada pembangunan sosio-ekonomi negara.
"Seiring dengan itu, Malaysia-China Institute (MCI) mengalu-alukan sokongan berterusan China melalui penambahan kuota pembiayaan biasiswa dan tajaan bagi bakat TVET Malaysia.
"Sokongan ini penting dalam menarik lebih ramai penyertaan belia Malaysia dalam program-program latihan kemahiran berkualiti tinggi di institusi-institusi terkemuka di China.
"Dalam usaha meningkatkan perpindahan teknologi, penyertaan aktif industri dari China adalah amat penting. Belia Mahir berharap agar syarikat-syarikat terkemuka dari China dapat memberi sumbangan dalam bentuk peralatan latihan moden kepada institusi-institusi TVET di Malaysia," katanya.
Jelasnya, sumbangan ini akan menjadi penanda aras baru dalam amalan terbaik TVET serta membantu meningkatkan tahap teknologi dan kemahiran di kalangan pelajar dan tenaga pengajar.
"Tambahan lagi, kerjasama strategik bagi mewujudkan Kampus Satelit TVET di Malaysia yang dilaksanakan bersama institusi terkemuka dari China diyakini mampu mempercepatkan pembangunan modal insan berkemahiran tinggi.
"Kampus-kampus satelit ini akan menjadi pemangkin kepada pembangunan mampan sektor industri negara melalui latihan dan teknologi terkini.
"Kami yakin lawatan Presiden Xi Jinping kali ini akan terus memperkukuhkan hubungan Malaysia-China serta membawa impak positif kepada pembangunan sosio-ekonomi melalui pemerkasaan TVET," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
