'Masih ada persepsi namun motosikal China akan mendapat tempat'

SHAH ALAM - Biarpun motosikal China semakin menarik perhatian penunggang jentera dua roda itu, namun motosikal Yamaha 135LC pada ketika ini paling mendapat sambutan di pasaran.
Seorang penjual motosikal di sebuah kedai sekitar Klang memberitahu, lebih 100 unit berjaya dijual setiap bulan mengatasi model lain seperti Yamaha Y15 dan jenama-jenama pesaing.
Menurutnya lagi, Yamaha 135LC menjadi pilihan utama pembeli kerana enjinnya yang tahan lasak dan mudah diselenggara.
“LC135 memang senang nak bawa, sesuai untuk lelaki dan perempuan memandangkan ia dicipta tanpa clutch, jadi tak rumit untuk tunggang harian.
“Aksesori dan alat ganti untuk model ini juga mudah didapati di pasaran, menjadikan penyelenggaraannya lebih mudah dan kos efektif.
“Selain Yamaha, jenama seperti Honda, Suzuki, Modenas, Benelli dan produk China, SYM juga mempunyai pengikut tersendiri, namun LC135 kekal antara yang laris terutama dalam kategori motosikal kapcai,” ujarnya.
Beliau turut berpendapat, pengguna tidak memilih motosikal China kerana masih kurang yakin dengan kualiti dan ketahanan produk dari negara itu.
“Mereka rasa produk dari China tidak tahan lama tapi mungkin akan mendapat tempat suatu hari nanti,” ujarnya.
Sementara itu, Aminuddin Osman, 44 yang merupakan pengguna motosikal keluaran Jepun berpendapat, dia tetap setia bersama jenama Honda kerana ketahanan enjin, penjimatan minyak, kos penyelenggaraan berpatutan dan alat ganti yang mudah dicari.
Jelasnya, dia mendapat kepuasan menggunakan produk tersebut memandangkan motosikal yang digunakan tidak pernah mengalami kerosakan teruk pada enjin.
“Sepanjang penggunaan motosikal ini saya tidak pernah membuat sebarang overhaul atau membaik pulih enjin. Hanya perlu mengikut jadual penyelenggaraan yang ditetapkan oleh pihak pengeluar.
“Motosikal pertama yang saya guna ialah Honda EX5 ketika masih belajar di universiti dan apabila melangkah ke alam pekerjaan, saya pakai Honda Wave dan sekarang Honda RSX.
“Kebanyakan motosikal Jepun ada kilang pemasangan di Malaysia dan jika dibandingkan dengan motosikal pada kelas sama yang dipasang di Malaysia, saya berasakan bahawa teknologi dan kualiti jenama Honda adalah lebih baik,” ujarnya.
Pun begitu katanya, kebanjiran jenama motosikal dari China akan memberi impak positif kepada pengguna di Malaysia.
“Ini kerana akan lebih banyak pilihan serta dilengkapi dengan teknologi sangat menarik,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

