Flick fokus pemulihan ketika Barca di landasan buru trebel

PENGENDALI Barcelona, Hansi Flick memberi tumpuan penuh terhadap pemulihan skuadnya bagi menghadapi baki musim yang mencabar, ketika mereka kini mendahului LaLiga dan masih bersaing merebut Piala Raja Sepanyol serta trofi Liga Juara-Juara Eropah.
Kemenangan tipis 1-0 ke atas Leganes di Estadio Municipal Butarque pada Sabtu melanjutkan rekod tanpa kalah Barcelona dalam saingan LaLiga kepada 12 perlawanan, sekali gus melebarkan jurang mata dengan seteru utama, Real Madrid.
Menyedari jadual perlawanan yang padat, Flick menekankan keperluan segera untuk proses rehat dan pemulihan pemain.
“Kami perlu fokus kepada pemulihan. Itulah keadaannya. Kami akan tiba di Barcelona malam ini, berlatih esok dan terbang ke Dortmund pada Isnin.
“Kami tiada alasan, perlu segera pulih dan inilah tugas kami,” katanya.
Biarpun hanya menang hasil jaringan sendiri pemain pertahanan Leganes, Jorge Saenz, Flick tetap menegaskan kepentingan setiap kemenangan dalam situasi jadual padat.
“Tiga mata tetap tiga mata dan setiap perlawanan kami berjuang selama 90 minit. Apabila melihat beban yang dipikul setiap pemain dalam beberapa minggu ini, ia sukar dipercayai.
“Selepas rehat antarabangsa, anda dapat lihat apa yang telah dilakukan oleh pemain saya; persembahan mereka sungguh luar biasa. Saya sangat bangga dengan mereka,” ujarnya.
Flick turut memuji aksi cemerlang pemain pertahanan, Inigo Martinez yang berjaya menyekat percubaan penyerang Leganes, Munir El Haddadi, daripada mengancam gawang dikawal Wojciech Szczesny.
“Itu juga sebahagian daripada permainan, bertahan dengan baik. Ya, saya meraikannya. Ia adalah perlawanan yang sempurna,” tambahnya.
INFO
Rekod tanpa kalah Barcelona yang luar biasa dalam 24 perlawanan merentasi semua pertandingan menggariskan prestasi mantap kelab Catalan itu menjelang perlawanan suku akhir kedua Liga Juara-Juara menentang Borussia Dortmund di Signal Iduna Park pada Rabu, diringi bekalan selesa 4-0 dari perlawanan pertama.
Selepas komitmen di Eropah, Barca akan kembali beraksi dalam LaLiga pada Sabtu depan, menerima kunjungan Celta Vigo di Camp Nou.
LIGA JUARA-JUARA
SUKU AKHIR KEDUA
RABU (16 APRIL)
Aston Villa (1) lwn (3) Paris Saint-Germain, 3 pagi
Borussia Dortmund (0) lwn (4) Barcelona, 3 pagi
KHAMIS (17 APRIL)
Real Madrid (0) lwn (3) Arsenal, 3 pagi
Inter Milan (2) lwn (1) Bayern Munich, 3 pagi
* Dalam kurungan keputusan suku akhir pertama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

