76 peratus ahli PKR mengundi dalam pemilihan cabang di Selangor - Amirudin

Amirudin (tiga dari kiri) menikmati juadah semasa Majlis Tautan Kasih Komuniti Sabak Bernam di Depan seri Nakhoda Simpang Empat, Bagan Nakhoda Omar pada Ahad.
Amirudin (tiga dari kiri) menikmati juadah semasa Majlis Tautan Kasih Komuniti Sabak Bernam di Depan seri Nakhoda Simpang Empat, Bagan Nakhoda Omar pada Ahad.
A
A
A

SABAK BERNAM - Sebanyak 76 peratus daripada lebih 92,000 ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang layak mengundi tampil menunaikan tanggungjawab dalam proses pemilihan cabang parti itu di Selangor pada Sabtu.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, angka ahli yang mengundi itu sekali gus menzahirkan komitmen tinggi akar umbi terhadap demokrasi dalaman parti.

Menurut beliau, pemilihan kali ini berjalan lancar dengan majoriti ahli memilih untuk mengundi secara dalam talian, sejajar dengan pendekatan digital yang diamalkan parti.

“Berdasarkan anggaran kami, 76 peratus telah mengundi sama ada secara fizikal atau dalam talian.

"Keputusan rasmi dijangka diumumkan hari ini pada jam 12 tengah hari ini dan berharap semua pihak dapat menghormati keputusan yang ditetapkan oleh ahli-ahli PKR,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Tautan Kasih Komuniti Sabak Bernam di Depan seri Nakhoda Simpang Empat, Bagan Nakhoda Omar di sini pada Ahad.

Beliau yang juga Pengerusi PKR Selangor memberitahu, sistem pengundian dalam talian yang kini merangkumi 90 peratus proses keseluruhan terbukti berkesan dalam memastikan kelancaran, keselamatan dan ketelusan pemilihan.

Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa setiap keputusan tetap perlu disemak secara teliti bagi mengelakkan sebarang keraguan serta menjamin integriti parti.

"Kita perlu meneliti setiap keputusan dengan teliti supaya tidak timbul sebarang keraguan atau salah faham," tambah beliau.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!