PRK Ayer Kuning: Calon tunjuk tahap profesionalisme baik

Noor Hisam ketika ditemui media selepas proses penamaan calon PRK DUN Ayer Kuning di Dewan Merdeka Tapah pada Sabtu.
Noor Hisam ketika ditemui media selepas proses penamaan calon PRK DUN Ayer Kuning di Dewan Merdeka Tapah pada Sabtu.
A
A
A

TAPAH - Polis Perak berpuas hati dengan kelancaran proses penamaan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning pada pagi ini dan tiada sebarang insiden tidak diingini berlaku.

Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin berkata, ketiga-tiga calon bertanding menunjukkan tahap profesionalisme yang sangat baik meskipun masing-masing diiringi penyokong ramai dan bersaing sesama sendiri.

Menurutnya, dianggarkan seramai 1,500 penyokong Barisan Nasional (BN) turun padang mengiringi calon, manakala Perikatan Nasional (PN) 1,000 orang diikuti Parti Sosialis Malaysia (PSM) 150 orang.

“Selain itu, kekuatan (tenaga kerja) Polis Diraja Malaysia (PDRM) kali ini seramai 778 petugas untuk memantau dan mengawal selia pergerakan calon.

“Sehingga tamat tempoh pendaftaran calon, Alhamdulillah tiada isu atau insiden tidak diingini berlaku kecuali masalah teknikal iaitu dewan ‘black out’ tapi semuanya sudah diuruskan.

“Untuk makluman, setakat sekarang kami terima lima permohonan permit untuk berkempen dan ia telah diluluskan oleh Ketua Polis Daerah Tapah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas proses penamaan calon PRK DUN Ayer Kuning di Dewan Merdeka, di sini pada Sabtu.

PRK DUN Ayer Kuning menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon BN, PN, dan PSM.

Perkara itu diumumkan Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Ahmad Redhauddin Ahmad Shokori di Dewan Merdeka Tapah di sini.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menerima kertas pencalonan daripada tiga individu bagi pemilihan di kerusi N48 tersebut sebaik tempoh berakhir jam 10 pagi.

BN selaku parti penyandang mempertaruhkan Setiausaha UMNO Bahagian Tapah, Dr Mohamad Yusri Bakir.

Bekas guru dan Ketua Jabatan Pendidikan Islam dan Moral di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Ipoh berusia 54 tahun itu dicabar Yang Dipertua Pas Kawasan Tapah, Abd Muhaimin Malek, 44, mewakili PN dan Timbalan Setiausaha Agung PSM, Bawani KS, 40.

PRK Ayer Kuning diadakan susulan kematian penyandangnya, Allahyarham Ishsam Shahruddin akibat serangan jantung pada 22 Februari lalu.

SPR menetapkan tempoh 14 hari berkempen dengan pengundian awal PRK tersebut pada 22 April manakala 26 April sebagai hari mengundi.

Daftar Pemilih Pilihan Raya bagi PRK Ayer Kuning adalah seramai 31,897 orang dengan 31,315 merupakan pengundi biasa dan 582 anggota polis serta pasangan.

Sebanyak 19 pusat mengundi biasa membabitkan 63 saluran dan dua pusat mengundi awal yang mengandungi tiga saluran akan digunakan.

PRK DUN Ayer Kuning ialah PRK ke-11 selepas pilihan raya umum pada 2022 iaitu PRK Parlimen Kuala Terengganu, Terengganu; PRK DUN Simpang Jeram, Johor; PRK Parlimen Pulai, Johor; PRK DUN Pelangai, Pahang; PRK DUN Jepak, Sarawak; PRK Parlimen Kemaman, Terengganu; PRK DUN Kuala Kubu Baharu; PRK Sungai Bakap; PRK DUN Neggiri dan DUN Mahkota, Johor.

Pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15), Ishsam mewakili BN menang dengan 2,213 majoriti undi selepas memperoleh 9,088 bilangan undi dalam pertembungan lima penjuru, mendahului calon Pakatan Harapan (PH) (6,875), PN (6,812), Parti Pejuang Tanahair (105) dan PSM (586).

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!