GRS perlu perjelas pelbagai isu dalam sidang DUN – Bung Moktar

KOTA KINABALU – Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin mengingatkan kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) agar tidak memperkecilkan suara serta tuntutan rakyat yang mahukan penjelasan telus dan menyeluruh berhubung isu-isu besar yang melanda pentadbiran negeri ketika ini.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lamag berkata, sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dijadual berlangsung minggu depan bukan sekadar sidang rutin, malah berkemungkinan besar merupakan sidang terakhir sebelum DUN dibubarkan bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN).
“Justeru, ia perlu dijadikan medan terbaik untuk membahas isu-isu rakyat secara terbuka, bukan sebagai pentas untuk menyusun naratif politik atau menyembunyikan kelemahan.
“Jadi, tidak wajar untuk mana-mana pihak berdiam diri terhadap segala kepincangan yang memberi kesan langsung kepada rakyat,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Tambah beliau, peranan semak dan imbang mesti dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab dalam pelbagai hal yang dibangkitkan rakyat.
“Antaranya hal berkaitan pelaburan, perjanjian ekonomi, pengurusan hasil bumi termasuk tanah dan sumber mineral, serta projek pembangunan yang melibatkan dana besar.
“Sabah tidak boleh terus menjadi negeri yang ‘kaya atas kertas’, sedangkan rakyat masih bergelut dengan kesusahan, pengangguran serta jurang pembangunan yang semakin melebar antara kawasan bandar dan luar bandar,” katanya.
Sehubungan itu, Bung Moktar menggesa supaya segala persoalan yang membelenggu rakyat wajar dibawa ke dalam sidang DUN.
“Sebarang cubaan untuk meminggirkan suara pembangkang menggunakan kuasa majoriti tidak harus berlaku.
“Dewan ini bukan tempat menyusun skrip politik, tetapi medan menjawab persoalan rakyat secara jujur dan terbuka. Sekiranya kerajaan GRS tidak bersalah atau tiada apa yang disembunyikan, maka buktikan dengan fakta dan data.”
Bung Moktar turut menggesa agar kerajaan GRS tidak mengelak, memberi alasan atau lari daripada perbahasan.
“Ruang perbincangan mesti dibuka seluas-luasnya. Semua wakil rakyat, sama ada daripada pihak kerajaan mahupun pembangkang, diseru agar mengutamakan kepentingan negeri dan rakyat mengatasi kepentingan individu atau parti.
“Banyak persoalan masih belum terjawab. Rakyat Sabah sedang menunggu. Jangan kecewakan mereka lagi,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
