'Saya juga tertakluk kepada TCO' - Anwar

SHAH ALAM – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa beliau sendiri tidak terkecuali daripada penguatkuasaan dan perintah kawalan perjalanan (TCO) yang dilaksanakan oleh pihak berkuasa sempadan negara.
Menurut Anwar, tindakan tersebut bukan hanya terhad kepada tokoh pembangkang atau individu tertentu, sebaliknya turut melibatkan semua kenamaan termasuk dirinya selaku ketua kerajaan.
“Saya pun ada (tertakluk kepada TCO), semua VIP (kenamaan) ada,” katanya ringkas ketika ditemui selepas program ‘Meet Anwar @IIUM’ di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) di sini pada Jumaat.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar yang mempersoalkan sebab dirinya dikenakan TCO sejak pertengahan tahun lalu.
Ahmad Samsuri atau lebih dikenali sebagai Dr Sam sebelum ini mendakwa beliau dilabel serta ditanda sebagai individu yang berada di bawah status TCO dalam sistem kawalan sempadan Malaysia.
Tambahnya, penandaan tersebut memberi gambaran seolah-olah beliau merupakan individu berisiko yang perlu diawasi oleh pihak berkuasa.
Dr Sam turut mendakwa seorang lagi tokoh utama pembangkang turut dikenakan perintah kawalan yang sama.
Untuk rekod, TCO merupakan salah satu mekanisme pemantauan keselamatan yang diguna pakai oleh agensi penguat kuasa di pintu sempadan negara bagi mengesan dan mengekang pergerakan individu yang dikategorikan sebagai berisiko tinggi berdasarkan maklumat perisikan.
Selain ditandai sebagai individu yang berada di bawah status TCO, Ahmad Samsuri turut mendakwa panggilan telefonnya kerap diintip pihak berkuasa.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

