TPM jemput rakyat ke Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri di Sri Satria

SHAH ALAM - Rakyat Malaysia pelbagai kaum dijemput hadir beramai-ramai bersama ahli keluarga masing-masing untuk memeriahkan Majlis Rumah Terbuka Lebaran Kasih Aidilfitri anjuran Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di kediaman rasminya di Sri Satria, Presint 16 Putrajaya, Ahad ini.
Majlis yang berlangsung dari jam 8 hingga 11 malam itu bukan sahaja meraikan sambutan Syawal, malah menjadi wadah mengukuhkan ukhuwah dan kasih sayang antara rakyat serta pemimpin.
Acara gilang-gemilang itu dijangka lebih meriah dengan kehadiran barisan artis terkenal tanah air termasuk Datuk Jamal Abdillah, Hael Husaini, Nadeera Azmi, Wany Hasrita, Ara Johari, Fauziah Gambus dan Junainah M Amin.
Majlis berkenaan turut dimeriahkan dengan kehadiran pelawak Atu dan Ustaz Afad dari kumpulan nasyid Raihan.
Bagi memudahkan orang ramai hadir, perkhidmatan bas pengantara percuma disediakan oleh MARA Liner dan Nadiputra bermula jam 5 petang hingga 12 tengah malam.
Laluan MARA Liner pula meliputi Putrajaya Sentral-Masjid Putra-Sri Satria dengan kekerapan setiap 30 minit.
Bas Nadiputra pula boleh dinaiki di Hentian Lot Parkir Presint 3 (3M4 dan 3M5) berdekatan Istana Kehakiman serta laluan 3M6 berdekatan Suruhanjaya Tenaga, dengan waktu operasi dari jam 5.30 petang hingga tengah malam.
Orang ramai dialu-alukan hadir bersama keluarga bagi merasai kemeriahan Aidilfitri bersama pemimpin negara.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
