Lelaki ugut keluarga guna parang, minta wang beli dadah

Suspek ditahan polis selepas bertindak agresif dan mengugut ahli keluarganya menggunakan parang dalam kejadian di Taman Sri Titingan, Tawau.
Suspek ditahan polis selepas bertindak agresif dan mengugut ahli keluarganya menggunakan parang dalam kejadian di Taman Sri Titingan, Tawau.
A
A
A

TAWAU - Tindakan seorang lelaki mengugut ahli keluarganya menggunakan parang untuk mendapatkan wang bagi membeli dadah membawa padah apabila dia ditahan polis dalam kejadian di Taman Sri Titingan, pada Selasa lalu.

Dalam kejadian sekitar jam 6.20 petang itu, lelaki berusia 27 tahun itu mengamuk selepas mendakwa mengalami gangguan dan terdengar bisikan.

Timbalan Ketua Polis Daerah Tawau, Superintenden Champin Piuh berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada jam 8.58 malam hari sama daripada seorang pengadu.

"Pengadu memaklumkan, ketika dia bersama keluarga di rumah, adiknya telah mengamuk meminta wang sambil membawa parang untuk menakutkan mereka sekeluarga.

"Pengadu kemudian menghubungi polis dan tangkapan segera dilakukan terhadap suspek," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Khamis.

Beliau berkata, semasa tangkapan dilakukan, pihak polis turut merampas sebilah parang dan satu paket plastik berisi hablur jernih yang dipercayai dadah.

"Hasil pemeriksaan lanjut, suspek mendakwa dia mengamuk kerana merasakan ada gangguan dan mendengar bisikan.

"Selain itu, suspek juga meminta wang daripada ahli keluarganya untuk tujuan membeli dadah," katanya.

Susulan kejadian itu, Champin memaklumkan kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah dan Seksyen 12(3) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana memiliki dadah.

Artikel Berkaitan:

"Suspek ditahan di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah untuk siasatan lanjut," katanya.

Sementara itu, dalam kes berasingan, beliau memaklumkan tujuh individu yang terlibat dalam satu pergaduhan di sebuah restoran di Jalan Haji Karim di sini pada Ahad lalu akan didakwa di mahkamah pada Jumaat.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!