Hilang sejak Sabtu, Muna Qaisara masih belum ditemui

KUALA TERENGGANU - Kerajaan negeri menunggu laporan penuh daripada Yayasan Terengganu (YT) berhubung insiden kehilangan seorang pelajar perempuan dari sebuah asrama di sini sejak Sabtu lalu.
Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan negeri, Datuk Satiful Bahari Mamat berkata, laporan itu penting bagi membolehkan pihaknya melakukan penambahbaikan untuk kebajikan pelajar pada masa akan datang.
Menurutnya, insiden menimpa pelajar berusia 15 tahun itu dalam perhatian dan penelitian pihaknya bagi memastikan ia tidak lagi berulang.
"Semua pihak sedang bekerjasama dengan pihak polis untuk mengesan pelajar berkenaan.
"Buat masa ini, kita doakan agar pelajar tersebut, Muna Qaisara Muhammad Budiman dapat ditemukan dalam keadaan selamat.
"Pelbagai pihak juga turut menganjurkan solat hajat dan doa selamat bagi memohon keselamatan pelajar ini supaya dia dapat segera pulang ke pangkuan keluarga," katanya ketika ditemui di sini, pada Rabu.

Pada Selasa, Sinar Harian melaporkan ibu bapa pelajar berkenaan memohon kerjasama orang ramai mengesan anaknya yang kali terakhir dilihat memakai jubah berwarna merah hati dan tudung berwarna krim.
Laporan polis berhubung kehilangan pelajar itu telah dibuat keluarganya pada Ahad selepas dia disedari tidak berada di asrama pada petang Sabtu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
