Misteri pembunuhan terungkai selepas tersebar video pengakuan di YouTube

Cameron Kizer Jr didakwa atas tuduhan membunuh berhubung kematian Maxwell. Foto Agensi
Cameron Kizer Jr didakwa atas tuduhan membunuh berhubung kematian Maxwell. Foto Agensi
A
A
A

INDIANA – Seorang remaja lelaki berusia 19 tahun di Indiana, Amerika Syarikat (AS) ditahan baru-baru ini, atas tuduhan membunuh selepas dipercayai memuat naik kandungan di media sosial, termasuk sebuah video rap di YouTube yang didakwa mengandungi pengakuan terhadap jenayah tersebut.

Mangsa, Jathen Maxwell, 20, dilaporkan maut akibat ditembak pada 25 Julai tahun lalu di Fort Wayne, Indiana, menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Polis Fort Wayne.

Selepas siasatan berbulan-bulan, Cameron Kizer Jr. secara rasmi didakwa atas tuduhan membunuh berhubung kematian Maxwell.

Menurut dokumen mahkamah yang diperoleh media tempatan WANE dan 21 Alive News, Kizer didakwa memuat naik satu hantaran dalam talian tidak lama selepas kejadian, termasuk satu hantaran yang berbunyi 'tembak dikepala'.

Pihak berkuasa turut memaklumkan bahawa Kizer memuat naik sebuah video rap di YouTube yang dipercayai merujuk kepada satu pertelingkahan.

Antara lirik dalam video berkenaan berbunyi, "Saya kena selesaikan sengketa yang mereka mulakan. Bila dapat lokasi, hubungi saya,".

Seorang saksi memberitahu penyiasat bahawa Kizer telah mengugut Maxwell melalui media sosial beberapa hari sebelum insiden tembakan berlaku.

Kizer juga dilaporkan mengakui kepada polis bahawa dia pernah bertengkar dengan Maxwell beberapa hari sebelum kejadian. Dokumen mahkamah menyatakan bahawa dia turut menghantar mesej Instagram kepada dua saksi, menyatakan niat untuk membunuh mangsa.

Dalam satu penghormatan dalam talian, keluarga dan rakan-rakan menyifatkan Maxwell sebagai seorang anak dan abang yang amat baik. -Agensi

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!