Tiada hukum karma dalam Islam

No Image Caption
A
A
A

KITA pernah mendengar orang berkata, ‘apa yang berlaku sekarang adalah karma daripada ALLAH SWT’. Tersenyum simpul saya membacanya.

Ayat ini sering kita baca di media sosial apabila memperkatakan nasib yang menimpa seseorang. Orang Melayu sering mengaitkan nasib dengan karma.

Barangkali terpengaruh dengan album kumpulan Wings bertajuk Hukum Karma yang dikeluarkan pada tahun 1988 dahulu.

“Mulia dibalas syurga, Dosa kan sengsara Ini hukum karma.” Orang kita mudah sangat terpengaruh dengan lirik lagu.

Maaf, saya bukan ustaz. Tapi ustaz saya ada memberitahu bahawa hukum karma memang tidak ada dalam ajaran Islam. Karma adalah fahaman dan kepercayaan dalam agama Hindu, Buddha dan Sikh.

Ia membawa maksud sesuatu perbuatan atau niat individu itu, akan dibalas kembali mengikut hukum alam atas apa yang telah dilakukannya.

Mengikut hukum karma, perbuatan baik akan diberi balasan yang baik manakala perbuatan jahat akan dibalas dengan perbuatan jahat juga.

Karma juga dikaitkan dengan kepercayaan kelahiran semula (reinkarnasi) oleh agama-agama tersebut.

Artikel Berkaitan:

Sekiranya kehidupan mereka banyak membuat kebaikan, maka mereka akan mendapat karma yang baik, namun jika mereka gagal mendapatkan karma yang baik, mereka akan dilahirkan semula dalam jelmaan binatang.

Sebab itu dalam penulisan ini saya ingin menerangkan mengenai perkara itu supaya tidak ada lagi rakan-rakan berkata, ‘pelantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri kelapan adalah karma’ atau ‘Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak menjadi Perdana Menteri akibat karma’.

Tak betul sama sekali. Sebenarnya apa yang berlaku adalah qada’ dan qadar yang ditentukan ALLAH SWT. Kita selalu berkata bahawa kita hanya merancang tetapi ALLAH yang menentukan. Kun fayakun.

Memang benar dalam Islam ada dinyatakan berbuat baik dibalas baik dan buat jahat dibalas dengan kejahatan seperti dalam Surah al-Zalzalah ayat 7-8: “Maka sesiapa berbuat kebajikan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya. Dan sesiapa berbuat kejahatan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya.” Tetapi bukanlah hukum karma seperti yang dipercayai penganut agama Hindu.

Dalam Islam, sesuatu musibah menimpa seseorang dianggap sebagai kifarah terhadap sesuatu dosa yang telah dilakukan di dunia. Bukannya karma.

Dalam Rukun Iman keenam, kita perlu percaya kepada qada' dan qadar. Dalam Islam juga ada syurga dan neraka, dosa dan pahala.

Kifarah ialah denda atau tebusan untuk menghapuskan kesalahan kerana melakukan dosa. Sama ada ia berbentuk denda seperti membebaskan hamba, memberi makan kepada fakir miskin atau berpuasa untuk menebus kesalahannya.

Kifarah juga boleh berlaku apabila seseorang itu diberi kesakitan dan musibah di atas ketetapan hatinya untuk meninggalkan maksiat atau dosa yang pernah dilakukan.

Begitu juga dengan sakit yang lain, ALLAH SWT juga akan mengampunkan dosanya di atas kesabaran seseorang hambanya yang ditimpa kesakitan dan musibah. Ia tidak sama dengan karma.

Saranan Rasulullah SAW, apabila manusia buat baik kepada kita, balaslah ia dengan kebaikan. Namun apabila mereka berlaku jahat kepada kita, balaslah juga dengan kebaikan kerana balasannya di akhirat kelak.

Konsep kifarah dalam Islam sangat berbeza dengan karma. Dalam Islam tiada istilah kelahiran semula ke dunia, manusia yang diciptakan ALLAH SWT hanya hidup sekali di dunia ini dan hanya dibangkitkan di akhirat bagi ALLAH SWT menghitung dan membalas amal perbuatan mereka semasa hidup di dunia ini sama ada masuk neraka atau ke syurga.

Hukum karma adalah kepercayaan penganut agama Hindu dan Buddha. Kita umat Islam ada Rukum Iman dan Rukum Islam.

Marilah kita berbalik kepada hukum dan ajaran Islam yang diajarkan Rasulullah SAW supaya kita dijauhkan daripada syirik kecil serta diberkati dalam hidup.

Tolong betulkan jika saya silap. Wallahua’lam.

* Azmi Tarmizi ialah Pengarang Eksekutif (Cetak) Editorial Sinar Harian