Tragedi lubang pembetung: Seorang lagi pekerja kritikal

Tiga pekerja maut dipercayai lemas akibat terperangkap dalam lubang pembetung.
Tiga pekerja maut dipercayai lemas akibat terperangkap dalam lubang pembetung.
A
A
A

LENGGONG - Seorang lelaki warga Indonesia yang menjadi mangsa terperangkap dalam lubang pembetung di sebuah tapak pembinaan di Kampung Ibol, Sumpitan di sini pada Ahad, dilaporkan kritikal.

Ketua Polis Daerah Gerik, Superintenden Zulkifli Mahmood berkata, mangsa yang berusia 31 tahun itu telah dihantar mendapatkan rawatan lanjut di Hospital Taiping akibat sesak nafas.

Menurut beliau, kejadian sekitar jam 10 pagi itu melibatkan lapan lelaki berusia 25 hingga 55 tahun yang mengalami sesak nafas dalam insiden tangki kumbahan yang dalam proses pembinaan.

"Dua mangsa warga tempatan berusia 29 dan 37 tahun disahkan meninggal dunia manakala dua lagi mangsa warga Indonesia dihantar ke Klinik Kesihatan Lenggong.

"Bagaimanapun mangsa yang berusia 25 tahun disahkan meninggal dunia manakala rakan senegaranya dihantar ke Hospital Taiping dalam keadaan kritikal," katanya dalam satu kenyataan di sini.

Zulkifli berkata, empat lagi lelaki yang membantu mengeluarkan mangsa turut mengalami sesak nafas dan sedang menerima rawatan sebagai pesakit luar di Hospital Kuala Kangsar.

"Dua mayat mangsa warga tempatan telah dihantar ke Unit Forensik, Hospital Taiping manakala mayat warga Indonesia itu dihantar ke Unit Forensik Hospital Gerik untuk dibedah siasat.

"Siasatan lanjut masih diteruskan dan kes ini diklasifikasikan sebagai mati mengejut," katanya.

Media melaporkan tiga lelaki termasuk seorang warga Indonesia maut dipercayai lemas akibat terperangkap dalam lubang pembetung di sebuah tapak pembinaan di Kampung Ibol, Sumpitan di sini.

Artikel Berkaitan:

Dalam kejadian itu, lima pekerja lain yang turut terperangkap berjaya diselamatkan oleh orang awam dan dibawa mendapatkan rawatan di klinik kesihatan berhampiran.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!