Isteri digigit, dipukul suami mabuk

SEREMBAN - Selepas tiga kali menjadi mangsa keganasan rumah tangga, seorang wanita nekad membuat laporan polis demi keselamatan diri.
Dalam kejadian terbaru pada Selasa, mangsa merupakan ibu kepada seorang anak mengalami luka dan lebam di beberapa bahagian badan termasuk bahu dan lengan selepas dipukul dan digigit suami yang pulang ke rumah dalam keadaan mabuk pada jam 3.20 pagi itu
Mangsa mahu dikenali Low, 31, berkata, suaminya yang berusia 31 tahun pulang ke rumah di Taman Wira Jaya, Kuala Pilah dalam keadaan marah-marah dan bertindak menolaknya sehingga terjatuh.
"Dia cuba menggigit bahagian dahi dan saya cuba menghalang tetapi dia kemudian memukul belakang badan saya sebanyak beberapa kali.
"Saya bertindak menyelamatkan diri mengunci diri dalam bilik tetapi suami telah menendang pintu bilik sebelum menggigit tangan kanan hingga mengalami luka, " katanya ketika sidang akhbar bersama ADUN Kepayang,Nicole Tan Lee Koon di Pusat Khidmat DUN pada Jumaat.

Peniaga itu berkata, kejadian itu merupakan kali ketiga dia dikasari suami bertindak di luar kawalan ketika di bawah pengaruh alkohol.
"Kejadian pertama berlaku tiga tahun lalu ketika saya sedang hamil dan pergaduhan berlaku hanya disebabkan isu remeh, sebelum kes kedua pada 2024 dan terbaru pada Selasa.
"Laporan polis pernah dibuat sebelum ini namun saya menarik semula kes itu selepas campur tangan keluarga yang tidak mahu isu diperbesarkan kerana beranggapan pergaduhan antara suami isteri merupakan perkara biasa.
"Namun untuk kes terbaru, saya nekad membuat laporan polis sekali lagi atas faktor keselamatan kerana takut akan dicederakan lagi," ujarnya.
Katanya, suaminya kini telah ditahan pada Jumaat selepas laporan polis dibuat.
Sementara itu, Nicole berkata, beliau menggesa kaum wanita untuk berani membuat laporan polis jika menjadi mangsa keganasan rumah tangga.
"Ada beberapa mangsa yang datang kepada saya untuk perlindungan tapi takut untuk buat laporan kerana segelintir beranggapan suami ibarat tuan mereka dan mengasari isteri adalah perkara biasa tetapi sebenarnya itu perlakuan tidak normal
"Ada undang-undang menangani kes seperti ini. Saya berharap wanita dapat melindungi diri mereka dengan lebih baik, berani melaporkan keganasan rumah tangga serta mendapatkan pemeriksaan perubatan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

