Wanita diselamatkan selepas pengsan dalam kebakaran rumah

KUANTAN – Seorang wanita berjaya diselamatkan selepas ditemui tidak sedarkan diri di dalam rumahnya yang terbakar di Felda Lepar Hilir 3, Gambang, pada malam Rabu.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Salahuddin Isa berkata, mangsa telah dikeluarkan dan dibawa ke hospital oleh orang awam sebelum bomba tiba di lokasi.
Menurutnya, kebakaran rumah berkembar dua pintu jenis kekal itu dilaporkan berlaku pada jam 9.35 malam.
"Susulan maklumat diterima, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Taman Tas bergegas ke lokasi untuk operasi pemadaman. Operasi turut dibantu oleh anggota dari BBP Chini dan BBP Maran," katanya.
Salahuddin berkata, operasi pemadaman dijalankan menggunakan aliran hos salur bantu mula dengan sumber air pili bomba dan air tangki jentera.
"Api berjaya dikawal kira-kira jam 10.40 malam, namun kedua-dua rumah terlibat hangus dengan peratusan kemusnahan kira-kira 80 peratus.
"Pihak bomba kemudian menjalankan kerja-kerja penyejukkan untuk memastikan tiada punca-punca api yang boleh menyebabkan kebakaran kembali sebelum operasi ditamatkan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

