Kebakaran saluran gas: Laluan Seafield-Bandar Saujana Putra ditutup

Infografik dimuat naik PLUS di Facebook pada Selasa.
Infografik dimuat naik PLUS di Facebook pada Selasa.
A
A
A

SHAH ALAM - Laluan di antara Seafield hingga ke Bandar Saujana Putra kini ditutup kepada semua kenderaan.

PLUS Malaysia Berhad (PLUS) berkata, langkah itu diambil sebagai langkah keselamatan susulan insiden kebakaran di Putra Heights berhampiran Lebuhraya Utara-Selatan Hubungan Tengah (ELITE).

Sehubungan itu, menurut PLUS, pengguna yang menghala ke selatan akan dilencongkan ke Plaza Tol Seafield dan masuk semula ke Lebuhraya ELITE menerusi Plaza Tol Bandar Saujana Putra.

“Pengguna yang menghala ke utara diarahkan keluar di Plaza Tol Bandar Saujana Putra dan masuk semula ke Lebuhraya ELITE melalui Plaza Tol Seafield.

“Pada masa sama, semua laluan masuk ke Lebuhraya ELITE menerusi Plaza Tol USJ dan Putra Heights juga ditutup kepada semua jenis kenderaan.

“Pengguna dinasihatkan merancang perjalanan dan menggunakan aplikasi navigasi seperti Waze atau Google Maps pada ketika ini. Terima kasih atas perhatian serta kerjasama semua,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Selasa.

Sinar Harian melaporkan bahawa Petroliam Nasional Bhd (Petronas) mengesahkan berlaku kebakaran di saluran paip utama Petronas Gas Bhd (PGB) berhampiran Putra Heights, Puchong, Selangor, pada jam 8.10 pagi tadi.

Menurutnya, saluran paip yang terjejas telah diasingkan dan semua pihak berkepentingan yang berkaitan sudah dimaklumkan.

Difahamkan, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) sedang melaksanakan operasi pemindahan penduduk berhampiran lokasi kebakaran saluran gas.

Artikel Berkaitan:

Setakat jam 10.35 pagi tadi, kira-kira 25 mangsa menerima rawatan awal di sebuah kuil berhampiran lokasi kejadian.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!