Rafizi pening fikirkan 19 kucingnya bila nak balik kampung beraya

SHAH ALAM - “Saya belum putuskan lagi apa nak buat dengan 19 ekor kucing saya bila balik kampung tahun ini,” kata Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli.
Menerusi hantaran di Facebook pada Ahad, Rafizi berkata, beliau sedang mempertimbangkan untuk menghantar 19 ekor kucing peliharaannya ke hotel haiwal sempena Aidilfitri kali ini.
“Tahun lepas, bila saya balik daripada kampung hancur lebur rumah saya bila tinggalkan mereka di rumah.
“Jadi tahun ini mungkin kena hantar ke...cat hotel,” katanya.
Terdahulu, kediaman beliau ‘dipecah masuk’ 10 ekor kucingnya sewaktu pulang ke kampung halaman sempena cuti Hari Raya Aidilfitri.
Katanya, kejadian berlaku dipercayai berpunca rasa tidak puas hati setelah ‘suspek’ ditinggalkan selama beberapa hari.
Dalam pada itu, Rafizi turut mengambil kesempatan untuk mengucapkan Selamat Hari Raya kepada seluruh rakyat Malaysia, termasuk mereka yang berada di perantauan.
Beliau juga merakamkan penghargaan kepada kakitangan Kementerian Ekonomi yang telah berkorban masa bersama keluarga sepanjang tahun lalu.
“Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada seluruh rakyat Malaysia, yang dekat, yang di perantauan dan yang sedang merantau untuk dekat dengan keluarga.
“Saya juga nak ambil kesempatan untuk mengucapkan Selamat Hari Raya dan terima kasih tanpa duit raya kepada seluruh kakitangan kementerian serta agensi.
“Setahun lepas ada banyak perkara telah diusahakan yang mengambil banyak masa kakitangan kementerian daripada keluarga masing-masing.
"Saya janji tahun ini tak akan kacau masa raya,” ujarnya.
Menurut Rafizi, beliau kurang mahir memberi ucapan raya kerana dalam keluarganya, Hari Raya lebih bermakna dengan renungan mata dan salam penuh makna berbanding kata-kata.
Tambah Rafizi, beliau mengingatkan rakyat agar menyambut Aidilfitri secara sederhana dan mengutamakan masa bersama keluarga, khususnya ibu bapa yang sudah berusia.
“Saya lahir pada 1 Syawal sekitar orang ramai menunaikan solat hari raya. Jadi setiap tahun, hari raya jadi ingatan yang saya semakin tua.
“Selamat Hari Raya, Maaf Zahir Batin dari Rafizi; Fisha; Ben; Bella; Max; Luna; Toby; Luca; Muffin; Brownie; Blondie; Marble; Biscuit; Oreo; Honey; Latte; Ginger; Truffle; Rocky dan Toffee.
“Dua lagi kena ingat balik sebab sudah lupa sibuk-sibuk ni,” kata Rafizi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
