Disangka haiwan buruan, lelaki mati ditembak rakan

Suasana sugul menyelubungi Unit Forensik Hospital Tengku Anis.
Suasana sugul menyelubungi Unit Forensik Hospital Tengku Anis.
A
A
A

PASIR PUTEH - Seorang lelaki maut selepas terkena tembakan rambang yang dilepaskan oleh rakannya dalam kejadian di kebun getah dekat Kampung Gong Genor di sini malam tadi.

Mangsa, Mohd Sazuki Shafeii, 48, maut di lokasi kejadian selepas mengalami kecederaan parah.

Difahamkan tembakan itu dilepaskan rakannya selepas menyangka mangsa yang merupakan pesara tentera adalah binatang buruan.

Mangsa dan rakan yang berusia 69 tahun dikatakan gemar memburu dan ketika kejadian hanya selaras senapang patah dibawa mereka.

Mohd Azmir
Mohd Azmir

Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Deputi Superintendan Mohd Azmir Damiri berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 7.50 malam.

"Siasatan awal mendapati mangsa yang merupakan pesara tentera dipercayai ditembak dari jarak 200 meter.

"Menurut kenyataan rakannya, tembakan yang dilepaskan itu telah tersasar dan kemudian terkena dada mangsa," katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, lelaki itu kini ditahan dan kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Katanya, mangsa dibawa ke Hospital Tengku Anis untuk bedah siasat.

Sementara itu, isteri mangsa, Nik Intan Musnita Nik Mustapha, 44, berkata, suaminya keluar memburu ketika dia sedang menunaikan solat.

"Saya hanya mengetahui suami keluar dari rumah selepas diberitahu oleh anak," katanya.

Menurutnya, selang beberapa jam kemudian dia dan keluarga dikejutkan dengan berita tersebut.

Hasil perkongsian hidup Mohd Sazuki dan Nik Intan Musnita, mereka dikurniakan empat cahaya mata yang berumur antara 5 hingga 19 tahun.