'Hiba setiap kali ziarah pusara ayahanda, bonda’ - Hishammuddin

SHAH ALAM - Bekas Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Hussein tidak dapat menahan sebak dan hiba setiap kali menziarahi pusara ayahanda serta ibunda lebih-lebih lagi menjelang Hari Raya Aidilfitri.
Menurut ahli Parlimen Sembrong itu, kerinduan terhadap bapanya yang juga bekas Perdana Menteri ke-3, Tun Hussein Onn bersama ibunda, Tun Suhailah Mohamad Noah masih terasa sehingga ke hari ini.
“Hibanya perasaan setiap kali ke pusara ayahanda dan bonda.

“Rindu yang terbuku di hati ini tak terungkap, rindu amat sangat. Ya ALLAH, kasihlah, rahmatilah dan sayangilah ayahanda serta bondaku.
“Tempatkanlah mereka di taman syurgamu yang indah lagi mendamaikan. ALLAH SWT jua sebaik-baik pemberi kurnia,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Ahad.
Kehadiran Hishammuddin ditemani isteri dan sanak-saudara kepada kedua-dua tokoh negarawan tersebut.
Beliau dilihat turut menyiram air dan menabur bunga di atas pusara adik kepada Tun Suhailah iaitu Tun Rahah yang juga ibu kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Allahyarham Tun Suhailah menghembuskan nafas terakhir di sebuah hospital swasta dan jenazahnya dikebumikan di Makam Pahlawan, Masjid Negara Kuala Lumpur kira-kira jam 2.25 petang pada 4 Oktober 2014.
Arwah, 82, disemadikan di tanah perkuburan sama dengan Allahyarham Tun Hussein yang meninggal dunia pada 29 Mei 1990.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

