Selangor perkenal HSISCare kurang kesesakan hospital

SHAH ALAM - Kerajaan Selangor memperkenalkan sistem HSISCare di Hospital Sultan Idris Shah (HSIS), Serdang sebagai langkah inovatif bagi mengurangkan kesesakan hospital dan memudahkan urusan pesakit.
Exco Kesihatan Awam dan Alam Sekitar, Jamaliah Jamaluddin berkata, HSISCare membolehkan pesakit mengurus janji temu, melakukan pendaftaran kendiri dan mengakses maklumat kesihatan peribadi dengan lebih mudah dan pantas.
“Sistem ini turut menawarkan pendaftaran dalam talian dalam radius 500 meter dari hospital sekali gus mengurangkan kesesakan di kaunter dan mempercepatkan rawatan.
"Ini bukan sahaja memberi manfaat kepada pesakit, tetapi juga membantu hospital dalam menguruskan aliran pesakit dengan lebih efisien,” katanya.
Jamaliah berkata demikian selepas mengadakan lawatan kerja ke beberapa hospital di Selangor, termasuk Hospital Tengku Permaisuri Norashikin (Kajang), Hospital Shah Alam, Hospital Selayang dan Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang.
Mengulas lanjut mengenai lawatannya itu, Jamaliah berkata, pertemuan itu diadakan bagi memahami cabaran dihadapi hospital kerajaan dan meneroka ruang kerjasama lebih baik antara kerajaan negeri dan Persekutuan.
"Antara isu utama yang dikenal pasti adalah kekurangan tenaga kerja, kesesakan di jabatan kecemasan dan klinik pesakit luar serta masalah parkir yang sering membebankan pesakit dan pelawat," jelas beliau.
Dalam pada itu, beliau memberitahu, kerajaan negeri turut melaksanakan beberapa inisiatif kesihatan lain seperti Program Kesihatan Mental Selangor (SEHAT) yang menyediakan akses kepada saringan kesihatan mental dalam talian, subsidi rawatan psikiatri, sesi kaunseling percuma dan talian bantuan 24 jam.
Selain itu, katanya, program Iltizam Selangor Sihat (ISS) membolehkan ahli mendapatkan subsidi rawatan di klinik panel berdaftar, sekali gus mengurangkan kesesakan di klinik dan hospital kerajaan.
"Kesihatan rakyat adalah keutamaan kerajaan negeri dan akan terus bekerjasama dengan semua pihak berkepentingan bagi memastikan rakyat mendapat akses kepada perkhidmatan Kesihatan lebih selesa dan berkesan," ujar beliau.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

