Sistem FIFO pastikan bekalan sentiasa segar - PKPS

Mohamad Khairil (empat dari kanan) beramah mesra dengan tetamu yang hadir pada Majlis iftar bersama Media di Shah Alam pada Selasa. FOTO: ROSLI TALIB
Mohamad Khairil (empat dari kanan) beramah mesra dengan tetamu yang hadir pada Majlis iftar bersama Media di Shah Alam pada Selasa. FOTO: ROSLI TALIB
A
A
A

SHAH ALAM - Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) memberi jaminan stok makanan di Gudang Makanan Selangor (GMS) sentiasa segar melalui penggunaan sistem 'First In, First Out' (FIFO).

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PKPS, Dr Mohamad Khairil Mohd Razi berkata, sistem FIFO akan memastikan produk yang masuk terlebih dahulu akan dikeluarkan lebih awal bagi mengelakkan berlakunya pembaziran atau kerosakan stok makanan.

"Kami tidak akan biarkan stok makanan lama tersimpan sehingga tamat tempoh kerana melalui sistem FIFO, stok akan sentiasa diperbaharui dan dijual melalui program JER (Jualan Ehsan Rahmah," katanya.

Mohamad Khairil. FOTO: ROSLI TALIB
Mohamad Khairil. FOTO: ROSLI TALIB

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis iftar bersama Media di sini pada Selasa.

Mohamad Khairil turut menepis kebimbangan stok beras yang disimpan terlalu lama boleh menyebabkan ia berbubuk atau rosak berikutan pihaknya mempunyai mekanisme pemantauan ketat.

"Produk seperti daging sejuk beku boleh bertahan sehingga dua tahun, tetapi dengan kerjasama syarikat Alana, produk ini akan melalui proses penggiliran pantas dalam tempoh kurang sebulan," katanya.

Menurut beliau, PKPS kini menyimpan sejuta kilogram (kg) daging sejuk beku dan beras sebagai langkah memastikan bekalan makanan mencukupi bagi menghadapi sebarang krisis seperti pandemik atau bencana.

"Selain daging dan beras, PKPS juga merancang menambah stok simpanan protein seperti ikan dan ayam dalam tempoh setengah tahun ini.

Artikel Berkaitan:

"Bagaimanapun, kaedah penyimpanan masih dalam kajian bagi memastikan kesegaran produk terjamin," tambahnya.

Mengulas lanjut, Mohamad Khairil memberitahu, GMS merupakan sebahagian daripada kerangka besar Food Security Selangor yang merangkumi pelbagai projek termasuk ternakan lembu pedaging dan tenusu serta pertanian berskala besar di bawah kendalian PKPS.

"Kerajaan negeri telah memperuntukkan RM30 juta bagi menjayakan projek ini dengan sasaran pembinaan fasiliti penyimpanan di Kuala Selangor dalam tempoh satu setengah tahun.

"Gudang Makanan Selangor ini adalah model yang kita bangunkan sendiri.

"Walaupun negara lain tidak berkongsi maklumat sistem penyimpanan mereka atas faktor keselamatan, kita yakin model ini dapat menjadi contoh terbaik di Malaysia," tambah beliau.

Sementara itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada rakan-rakan media yang sentiasa menyokong pelbagai inisiatif dilaksanakan PKPS.

"Terima kasih kepada semua rakan media termasuk media cetak, elektronik dan digital yang selama ini berdiri teguh bersama PKPS.

"Saya berharap kita terus memperkukuhkan kerjasama demi manfaat rakyat dan kemajuan negeri Selangor yang kita cintai.

"Saya percaya dengan sokongan dan peranan media yang berterusan, segala usaha ini akan sampai ke pengetahuan serta mendapat kepercayaan rakyat," tambah beliau.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!