Pengurus syarikat rugi RM2.08 juta terpedaya sindiket tipu pelaburan

Hussein
Hussein
A
A
A

SHAH ALAM – Seorang pengurus syarikat rugi RM2.08 juta akibat diperdaya skim pelaburan saham menerusi aplikasi Facebook.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Selangor telah menerima satu laporan polis di Serdang berkaitan kes tersebut.

"Mangsa berusia 52 tahun berminat untuk menyertai pelaburan itu setelah melihat iklan di Facebook pada awal Ogos tahun lalu.

“Mangsa kemudian dimasukkan ke dalam kumpulan WhatsApp yang ditadbir seorang individu dikenali sebagai Charles," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Hussein berkata, mangsa telah diminta membuat bayaran ke dalam sembilan akaun bank berbeza menerusi sembilan transaksi berjumlah RM2.08 juta.

"Mangsa menyedari dirinya ditipu apabila diminta membuat bayaran tambahan untuk mengeluarkan keuntungan," jelasnya.

Menurutnya, mangsa kemudiannya tampil membuat laporan polis.

"Pihak polis telah membuka satu kertas siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan," ujarnya.

Hussein berkata, orang ramai diingatkan agar sentiasa berwaspada terhadap mana-mana tawaran berkaitan pelaburan di media sosial yang menjanjikan pulangan tidak munasabah.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!