'Iftar Sinar Mydin gamit nostalgia berbuka puasa dulu-dulu'
KOTA BHARU – Program Jelajah Iftar Sinar Mydin di Mydin Mall Tunjong menggamit nostalgia berbuka puasa zaman dahulu dengan suasana penuh kemesraan, mengeratkan silaturahim dalam kalangan pengunjung.
Orang ramai memenuhi ruang legar pusat beli-belah itu untuk menikmati pelbagai juadah enak yang disediakan secara percuma dalam suasana santai dan harmoni.
Seorang pesara kerajaan, Nariah Mohamed Salleh, 73, berkata, program ini memberi gambaran kepada generasi muda tentang budaya berbuka puasa secara berjemaah yang mengukuhkan hubungan masyarakat.
“Saya gembira dapat iftar bersama kerana suasana dan lokasi yang selesa untuk menikmati hidangan. Sistem pembahagian makanan yang teratur juga membolehkan kami berbuka dengan tenang,” katanya.
Bagi suri rumah, Nurul Atiqah Mohd Sabri, 36, program ini menjadi momen indah bersama suami, Muhammad Adib Johari, 36, dan tiga anak mereka.
"Kami datang semata-mata untuk berbuka kerana semua kelengkapan raya telah disediakan lebih awal. Alhamdulillah, anak-anak tidak memilih makanan, jadi kami dapat menikmati hidangan dengan mudah," katanya.
Program ini turut menarik perhatian pasangan Orang Kurang Upaya (OKU), Noor Fahima Suboh dan suaminya, Mohd Fizuan Hafiz, 38, yang datang dari Gunong, Bachok, bersama anak mereka, Nur Ain Zulaikhan Mohd Fizuan, 3.
Noor Fahima yang sedang mengandung anak kedua berkata, mereka hanya datang untuk berbuka puasa dan tidak bercadang membeli baju raya kerana perlu berjimat.
"Suami saya hanya bekerja sebagai tukang cuci kereta, jadi kami mengambil peluang bersantai di sini sambil menunggu waktu berbuka," katanya.
Sementara itu, Muhd Irwan Salwana, 25, yang bekerja dalam industri minyak dan gas, sanggup memandu hampir 40 minit dari Kampung Hutan Kuin, Machang, untuk berbuka puasa di Mydin Mall bersama isteri, Nur Fatin Amaney Sharifuddin, 22, dan anak mereka yang berusia setahun tiga bulan.
"Kebetulan saya bercuti dan sudah mendaftar secara dalam talian untuk berbuka di sini. Selain berbuka puasa, kami juga membeli kelengkapan hari raya, lebih menjimatkan masa," katanya.
Turut hadir dalam program itu ialah Pengarah Eksekutif Mydin Mohamed Holdings Berhad, Salim Mydin, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir Tumboh, Datuk Abd Rahman Yunus, dan ADUN Salor, Mohd Saizol Ismail.
Menurut Abd Rahman, program iftar ini bukan sahaja menceriakan masyarakat tetapi juga membantu menjimatkan perbelanjaan mereka sepanjang Ramadan.
"Iftar percuma seperti ini dapat mengeratkan hubungan penduduk setempat kerana mereka dapat berkumpul dan menikmati juadah berbuka bersama-sama," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
