UMNO Kelantan beri amaran tidak akan terpedaya dengan taktik Pas

KOTA BHARU – UMNO Kelantan memberi amaran kepada Pas agar tidak terus bermimpi untuk menarik parti itu menyertai mereka dalam usaha membentuk kerajaan melalui pintu belakang.
Pengerusi UMNO Kelantan, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub menegaskan bahawa parti itu kekal dengan pendirian untuk tidak mengkhianati rakan dalam Kerajaan Perpaduan dan akan terus istiqamah dalam perjuangan.
“Kalau mereka ingin mengadakan gerakan melalui pintu belakang dengan menggoda UMNO untuk menjatuhkan kerajaan ketika ini, mereka membuat tanggapan yang silap.
“Mesej ini jelas, UMNO tidak akan sesekali mengkhianati rakan dasar kami,” katanya kepada pemberita di sini pada Isnin.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Makan Colek bersama Media Kelantan yang turut dihadiri kepimpinan UMNO negeri.
Ahmad Jazlan turut mempersoalkan tindakan Pas yang menolak tawaran menyertai Kerajaan Perpaduan sebelum ini, tetapi kini berusaha untuk kembali berkuasa dengan cara yang tidak demokratik.
“Kenapa pada waktu Yang di-Pertuan Agong menjemput mereka untuk bersama dalam Kerajaan Perpaduan sebelum ini, mereka menolak?
“Sebaliknya, mereka cuba menggoda ahli Parlimen UMNO untuk menyokong mereka dalam usaha membentuk kerajaan yang menafikan mandat rakyat,” ujarnya.
Menurut beliau, tindakan itu bukan sahaja bertentangan dengan prinsip demokrasi, malah bercanggah dengan undang-undang sedia ada yang mengkehendaki sebarang keputusan dibuat secara kolektif dalam parti.
Sehubungan itu, katanya, UMNO akan terus memperkukuh kedudukan dalam kerajaan demi kepentingan rakyat dan tidak akan terperangkap dengan permainan politik yang didakwa daripada Pas.
“UMNO ditubuhkan oleh rakyat, untuk rakyat, dan kekal berjuang demi kestabilan negara.
“Kami tidak akan mengorbankan prinsip perjuangan semata-mata kerana desakan politik pihak tertentu,” jelasnya.
Ahmad Jazlan turut mengingatkan kepimpinan UMNO agar menyusun gerak kerja dengan lebih tersusun menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
“Kemenangan di Nenggiri baru-baru ini adalah isyarat awal kebangkitan rakyat Kelantan yang mahu memberi kepercayaan kembali kepada UMNO dan Barisan Nasional.
“Kita tidak boleh leka, ini adalah masa untuk memperkukuh jentera dan memastikan rakyat yakin dengan kepimpinan kita,” katanya.
Beliau berkata, UMNO akan terus berusaha menambah jumlah kerusi dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan bagi memastikan suara pembangkang lebih kuat didengari.
“Kami hanya mempunyai tiga ADUN berbanding 42 daripada Pas dan Bersatu.
“Jika mahu semak dan imbang yang lebih berkesan, rakyat perlu menambah kerusi UMNO dalam DUN Kelantan,” tegasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!