Suspek samun barang kemas RM2 juta direman 7 hari

Dalam kejadian pada Sabtu, suspek melarikan tujuh dulang barang kemas yang dianggarkan bernilai RM2 juta. Foto hiasan 123RF
Dalam kejadian pada Sabtu, suspek melarikan tujuh dulang barang kemas yang dianggarkan bernilai RM2 juta. Foto hiasan 123RF
A
A
A

SHAH ALAM - Seorang lelaki tempatan direman tujuh hari bagi membantu siasatan berkaitan kes samun sebuah kedai emas dalam sebuah pasar raya di Kota Damansara, Petaling Jaya pada Sabtu.

Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata, suspek berusia 32 tahun itu ditahan pada jam 10.15 malam di Bukit Beruntung, Hulu Selangor.

"Suspek direman tujuh hari bagi membantu siasatan, manakala seorang lagi rakannya yang terbabit sebagai 'transporter' akan menyerah diri dalam masa terdekat.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 4 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 kerana melakukan rompakan menggunakan senjata api," katanya ketika dihubungi pada Ahad.

Pada Ahad, media melaporkan polis menahan seorang lelaki selepas terbabit dalam kejadian samun tersebut.

Hussein dilaporkan berkata, polis menemukan semula sejumlah barangan kemas yang disamun.

Pada Sabtu, Pusat Kawalan Polis Daerah (DCC) IPD Petaling Jaya telah menerima maklumat daripada orang awam mengenai kejadian samun bersenjata api di kedai emas terbabit pada jam 4.56 petang.

Difahamkan, lelaki berkenaan yang memakai topeng muka serta baju berhud mengacukan pistol ke arah pekerja premis terbabit.

Semasa kejadian terdapat seorang pelanggan dan tiga pekerja di dalam premis.

Artikel Berkaitan:

Suspek melarikan tujuh dulang barang kemas di dalam rak pameran kedai yang dianggarkan bernilai RM2 juta.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!