Sabah terus perhebat bela golongan miskin tegar - Hajiji

Anwar dan Hajiji beramah mesra bersama rakyat yang menghadiri Majlis Berbuka Puasa Madani peringkat negeri Sabah di Padang Istiadat Daerah Tuaran pada Sabtu.
Anwar dan Hajiji beramah mesra bersama rakyat yang menghadiri Majlis Berbuka Puasa Madani peringkat negeri Sabah di Padang Istiadat Daerah Tuaran pada Sabtu.
A
A
A

TUARAN - Usaha membela golongan miskin tegar di negeri Sabah terus diperhebat tahun ini menerusi pelbagai inisiatif yang dilaksanakan kerajaan.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, antara inisiatif kerajaan yang dilaksanakan ialah pemberian bantuan bulanan sebanyak RM300 seorang selama satu tahun kepada 100,000 penerima bagi mengurangkan beban hidup mereka.

Menurutnya, kerajaan negeri turut meneruskan program penyediaan rumah kediaman kepada golongan miskin tegar dengan pembinaan 3,000 unit Rumah Mesra Sabah Maju Jaya (SMJ) pada tahun ini.

"Program bantuan rumah ini termasuk inisiatif menyediakan pekerjaan kepada Ketua Isi Rumah (KIR) daripada kalangan miskin tegar yang telah dimulakan sejak dua tahun lalu," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Berbuka Puasa Madani Peringkat Negeri 2025 yang disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Padang Istiadat, Tuaran, pada Sabtu.

Hajiji berkata lagi, tahun lalu sahaja kerajaan Sabah telah membelanjakan sekitar RM470 juta untuk pembangunan modal insan dan pendidikan.

"Bagi meringankan beban kos sara hidup yang semakin meningkat, kerajaan negeri menyalurkan bantuan subsidi tiket kapal terbang sebanyak RM600 kepada pelajar Sabah yang sedang menuntut di Semenanjung, Sarawak dan Labuan yang ingin pulang ke kampung halaman pada musim perayaan.

"Bagi pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) dalam negeri yang ingin pulang ke kampung masing-masing, mereka turut diperuntukkan bantuan sebanyak RM300 seorang.

Artikel Berkaitan:

"Banyak lagi inisiatif lain termasuk peruntukan biasiswa oleh kerajaan negeri telah ditambah daripada RM50 juta kepada RM128 juta pada tahun ini," katanya.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Hajiji menyifatkan kemasukan pelabur dengan pelaburan bernilai ratusan bilion ringgit adalah indikator yang menunjukkan bahawa pertumbuhan ekonomi negara berada pada landasan tepat.

Menurutnya, sejak Anwar menerajui negara, beliau berjaya meletakkan kembali kedudukan Malaysia di persada dunia.

"Pertumbuhan ekonomi negara juga amat menggalakkan, pelabur asing berduyun-duyun datang untuk membawa pelaburan yang bernilai ratusan bilion ringgit.

"Semua ini adalah indikator yang menunjukkan bahawa pertumbuhan ekonomi Malaysia berada pada landasan yang tepat di bawah kepimpinan Anwar," katanya.

Sebelum itu, Hajiji bersama Anwar melawat Jualan Rahmah di hadapan Dewan Seri Sulaman dan kemudiannya menghadiri taklimat Pembangunan Negeri Sabah di Bilik Mesyuarat Utama, Pejabat Daerah Tuaran.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!